PADANG RENGAS: Kerajaan Perak memberi jaminan bekalan lembu bagi keperluan ibadah korban di negeri ini mencukupi, biarpun pengeluar dan pembekal haiwan ternakan itu terkesan dengan peningkatan kos seperti makanan dan bahan api.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, bagaimanapun pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan harga susulan kesan krisis di Asia Barat.
“Alhamdulillah, bekalan lembu setakat ini mencukupi untuk ibadah korban.
“Cuma mungkin berlaku sedikit kenaikan harga lembu berbanding tahun-tahun lalu berikutan harga diesel yang agak tinggi sekali gus meningkatkan kos pengangkutan.
“Bagaimanapun saya percaya bahawa ibadah korban ini dapat dilaksanakan dengan terbaik pada tahun ini walaupun ada kos-kos yang telah dinaikkan untuk pengeluar, pembekal lembu korban,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Jelajah Sejahtera Desaku@DUN Chenderoh di Dewan Arena Terbuka, Kampung Chuar Hulu di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh, Datuk Mohamad Ariff Abdul Majid.
Ditanya mengenai permohonan Permit Sembelihan Luar (PSL) Mohd Zolkafly berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah meluluskan permohonan bagi 94 premis untuk mendapatkan PSL sempena ibadah korban tahun ini.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan sebanyak 75 premis.
“Pada tahun lalu, sebanyak 7,344 PSL dikeluarkan melibatkan 6,905 lembu, 438 kambing dan seekor unta, dengan hasil kutipan berjumlah RM252,390,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bekalan barangan keperluan sempena Hari Raya Aidiladha, beliau memberi jaminan bahawa bekalan adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu bimbang.
“Untuk hari raya ini, bekalan makanan seperti ayam, telur, daging, ikan dan sebagainya adalah mencukupi, malah melebihi keperluan rakyat negeri Perak,” katanya. -MG Perak


