Resipi tradisi bawa `Bahulu Perak’ tembusi pasar raya besar

HANYA bermula di dapur rumah kecil di FELDA Trolak Utara di Sungkai, Tanjung Malim, jenama ‘Bahulu Perak’ membuktikan bahawa perniagaan kuih tradisional mampu bersaing dalam pasaran arus perdana termasuk menembusi jenama pasar raya besar.

Perjalanan hampir dua dekad pasangan suami isteri, Mohd Hazli Hussain, 47, dan Zahilah Asmuni, 46, membuktikan bahawa usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) boleh terus maju ke hadapan dalam mendepani rencam dunia perniagaan.

Menurut Mohd Hazli, perniagaannya itu pada asalnya beroperasi di sebuah premis di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh, selepas beliau dan isteri membuat keputusan untuk berhijrah dari Sungkai ke Ipoh pada tahun 2015.

Beliau berkata, jenama Bahulu Perak semakin berkembang dan dikenali masyarakat setempat, sebelum ia kemudiannya berpindah ke pusat membeli-belah AEON Kinta City, Ipoh selepas tiga tahun di situ.

“Ketika di pusat beli-belah ini, pada awalnya kami hanya berniaga di ruang perniagaan berkonsepkan kios yang berhampiran dengan medan selera.

“Alhamdulillah permintaan semakin meningkat dan kami berpindah ke lokasi lain iaitu di sebuah ruang perniagaan baharu yang lebih selesa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak, di sini.

Mengulas tentang pemilihan produk, Mohd Hazli berkata, perniagaan melibatkan kuih baulu itu adalah warisan keluarganya sejak hampir 50 tahun yang lalu.

“Ibu saya mewarisi resipi menghasilkan baulu daripada nenek yang mana ketika itu keluarga mengusahakannya sebagai inisiatif menjana pendapatan tambahan.

“Ketika kecil, saya membantu ibu dan belajar bagaimana untuk menghasilkan kuih itu dengan cara tradisional seperti menggunakan sabut kelapa.

“Dan disebabkan resipi ini yang saya warisi daripada keluarga berasal dari Lenggong, sementara isteri anak jati Gerik, kami namakan perniagaan ini sebagai Bahulu Perak,” ujarnya.

Walau bagaimanapun beliau berkata, kejayaan dalam menembusi pasaran lebih luas tidak hanya bergantung kepada resipi tradisi semata-mata, sebaliknya ia juga memerlukan inovasi agar dapat memenuhi selera pelanggan semasa.

Ujar beliau, selain mengurangkan kuantiti gula, baulu yang dihasilkan Bahulu Perak turut menyediakan pilihan kepada pelanggan iaitu baulu berintikan coklat menerusi penggunaan ‘chocolate rice’.

“Kami hanya gunakan satu bancuhan gula bagi setiap pengeluaran, dan dalam setahun kami dapat jimat penggunaan sehingga dua tan gula.

“Melalui langkah penjimatan itu, kami kemudiannya pulangkan kepada pelanggan melalui penjualan baulu pada harga yang lebih berpatutan,” jelasnya.

Bahulu Perak pasaran arus perdana usahawan IKS Perak, kuih tradisional baulu Malaysia, perniagaan bahulu Ipoh, kejayaan usahawan kecil Malaysia, Bahulu Perak AEON Kinta City, industri makanan tradisional, Mohd Hazli Hussain Bahulu Perak
Pengusaha perniagaan Bahulu Perak, Mohd Hazli Hussain, 47, dan Zahilah Asmuni, 46, ketika ditemu bual di premis perniagaannya di pusat membeli-belah AEON Kinta City, Ipoh. Foto: Aniq Nabilafiq Anuar.

Terima sokongan pelbagai agensi

Dalam pada itu, Mohd Hazli mengakui, sokongan berterusan yang diterimanya daripada agensi kerajaan menjadi antara faktor utama kepada kejayaan perniagaan mereka untuk terus bertahan dan berkembang.

Kata beliau, selain Jabatan Pertanian Negeri Perak, mereka turut menerima sokongan daripada pelbagai agensi lain termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Yayasan Perak.

“Kami bersama Jabatan Pertanian Negeri hampir 16 tahun, dan sepanjang tempoh itu banyak bantuan yang kami terima termasuk bantuan geran, mesin serta bimbingan dari sudut perniagaan mahupun pemasaran.

“Bantuan geran itu juga membolehkan kami melakukan ubah suai di bengkel penghasilan di Taman UK Raya, Tambun yang mana ia berjaya dibeli secara tunai pada tahun 2022 dengan kos sekitar RM150,000.

“Dan hasil yang diperoleh selama ini juga telah berjaya membantu kami mendapatkan bengkel kedua pada tahun lalu yang membabitkan kos kira-kira RM170,000,” katanya lagi.

Hasil jualan memberangsangkan

Selain itu Mohd Hazli berkata, mereka mampu menghasilkan antara 3,000 hingga 5,000 biji baulu sehari, dengan peningkatan ketara pada hujung minggu dan musim perayaan.

Beliau berkata, perniagaan Bahulu Perak mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan nilai jualan tahunan mencecah lebih setengah juta atau RM700,000 pada tahun 2024.

Jelas Mohd Hazli, selain baulu, mereka turut mempelbagaikan produk hiliran lain seperti kuih kapit, kerepek pisang tanduk dan bertih jagung, di samping turut menempatkan produk-produk usahawan IKS yang lain di premisnya.

Kata beliau, produk baulu yang mereka hasilkan bukan sahaja berjaya menambat hati masyarakat setempat, malah ia menjadi kegemaran pelanggan dari luar termasuk daripada pelbagai latar belakang bangsa.

“Kami ada menerima pelanggan dari Singapura dan Brunei yang pernah beli sebelum ini, tetapi datang membeli kembali pada kemudian hari. Malah ada juga yang meminta kami hantar produk yang dijual sehingga ke Johor,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Mohd Hazli merancang untuk memperluaskan lagi perniagaan Bahulu Perak dengan menjadikan kuih tradisional itu sebagai makanan harian serta membina rangkaian usahawan baharu.

“Kami juga ingin wujudkan satu sistem di mana usahawan boleh ambil produk daripada kami dan jenamakan sendiri.

“Dan melalui usaha ini, ia dapat bantu mereka untuk memulakan perniagaan tanpa memerlukan modal besar.

“Kami juga akan terus ambil pelbagai produk usahawan IKS lain untuk dijual di sini. Dan Ini adalah cara kami untuk bantu sesama usahawan supaya sama-sama dapat berkembang,” ujarnya.

Kejayaan yang dicapai perusahaan Bahulu Perak membuktikan bahawa gabungan warisan, inovasi dan sokongan strategik agensi mampu mengangkat produk tradisional ke tahap lebih tinggi.

Ia selaras dengan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, seperti flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat serta agenda Satu Daerah Satu Aktiviti Ekonomi.  – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Inovasi kuih tradisional, ‘denderam kopi‘ produk terbaharu Dodol Warisan Cikgu Anjang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI