IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan perjumpaan bersama beberapa pihak berkepentingan serta pemimpin tertinggi pada awal minggu hadapan bagi meneliti secara menyeluruh isu pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pihaknya telah mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum segala pandangan dan keprihatinan pelbagai pihak terhadap isu itu, selain menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan haiwan sentiasa diberi perhatian.
“Kerajaan negeri sentiasa komited terhadap isu kebajikan haiwan dan mengambil serius perkara yang dibangkitkan.
“Pada masa ini, satu perjumpaan telah diaturkan bersama pihak berkepentingan serta pemimpin tertinggi bagi meneliti perkara ini secara lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sandrea berkata, kenyataan yang lebih lengkap berhubung pendirian dan tindakan lanjut kerajaan negeri akan dikeluarkan selepas sesi perbincangan tersebut selesai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas perhatian serta kefahaman yang diberikan dalam menangani isu berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) segera memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo Osaka (ZTO) bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Asia itu.
Arthur berkata, kementerian itu tidak terlibat sebagai pihak dalam perjanjian pemindahan haiwan tersebut dan perjanjian berkenaan dibuat secara langsung antara ZTNS dan ZTO melalui kaedah perniagaan ke perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.
Dalam pada itu, semalam, Wan Rosdy menggesa pihak ZTNS mengambil tindakan segera membawa pulang ketiga-tiga gajah yang kini ditempatkan di ZTO.
Wan Rosdy berkata, ketiga-tiga gajah itu wajar dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


