EU salur geran RM9.5 juta kepada PoABI dan PKNPk

IPOH – Kesatuan Eropah (EU) menyalurkan geran berjumlah RM9.5 juta kepada Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, geran tersebut akan digunakan untuk menjalankan kajian terhadap daya tarikan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan maritim serta memaparkan data-data mengenai kesesuaiannya sebagai sebuah pusat logistik dan pengangkutan antarabangsa.

Menurutnya, pemberian geran ini adalah satu pencapaian yang membuktikan kepentingan negara ini sebagai sebuah destinasi pelaburan utama serta membantu Lumut mencapai potensi untuk memacu pembangunan terangkum dan mampan bagi negeri Perak.

“EU tertarik untuk membuat kajian secara komprehensif di negeri ini kerana kekayaan sumber semulajadi dan ketersediaan infrastruktur termasuk pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), serta hubungan yang terjalin dengan PoABI,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Pengumuman Geran Kesatuan Eropah (EU) oleh Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), di Casuarina Meru, pada Isnin.
Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman geran EU berkenaan di Casuarina Meru, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot dan Ketua Pengarah Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Saarani berkata, kajian komprehensif yang akan dijalankan itu merangkumi sembilan penilaian di mana empat penilaian awal akan memberi tumpuan kepada Malaysia secara umum bagi menarik potensi EU atau pelabur asing lain.

Ujar beliau, baki lima penilaian akan memberi tumpuan dalam menyediakan hala tuju Lumut sebagai pintu masuk ke Malaysia.

“Kajian tersebut sudah bermula sejak September lalu dan mengambil masa 18 bulan untuk disempurnakan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa majlis menandatangani Perjanjian Pemegang Saham Usaha Sama (JVSA) untuk menubuhkan LuMIC Development Sdn Bhd (LuMIC DevCo) sebagai sebuah syarikat tujuan khas adalah untuk membangunkan dan menguruskan LuMIC secara bersepadu.

“JVSA ini adalah fasa baharu kerjasama PKNPk serta PoABI dalam menjayakan inisiatif LuMIC dengan menjadikan Perak sebagai pusat maritim dan logistik terkemuka sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan sosio ekonomi.

“Kerjasama strategik antara PKNPk dan PoABI untuk menubuhkan LuMIC dan menjadikannya pusat serantau baharu di Selat Melaka adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai wawasan Perak Sejahtera 2030, sejajar dengan komitmen untuk menjadi pusat maritim terulung selain mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur,” ujarnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyaksikan sesi menandatangani Perjanjian Pemegang Saham Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di antara Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di Casuarina Meru, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 10 pelajar kumpulan pertama dari keseluruhan 100 pelajar dari Perak menjadi kumpulan pertama untuk memulakan Program Latihan Amali LuMIC.

“Program latihan amali dengan kerjasama kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) adalah inisiatif untuk melonjakkan pembangunan bakat bagi melahirkan sekumpulan belia mahir yang berupaya berkembang maju dalam ekosistem maritim seiring dengan perkembangan LuMIC.

“Program latihan amali tersebut memainkan peranan penting untuk menjadikan Perak sebagai peserta utama dalam industri maritim yang sedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan merapatkan jurang bakat dengan melengkapkan pelajar dengan keupayaan dan ilmu pengetahuan bertaraf dunia,” jelasnya.

Sementara itu, Waterschoot berkata, projek tersebut bakal membawa perubahan besar yang akan memanfaatkan peluang dalam sektor maritim, perdagangan serta pelaburan sejajar dengan strategi pembangunan negeri. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiada keperluan rombak barisan Exco Perak – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI