Gerik Megatrails angkat potensi sukan lasak, ekopelancongan Hulu Perak

GERIK – Gerik Megatrails wajar dilihat sebagai acara yang memperkenalkan kekuatan Gerik dalam sukan lasak, ekopelancongan dan kembara alam semula jadi yang secara tidak langsung mengangkat keunikan daerah Hulu Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program tersebut secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta untuk melalui pengalaman merentas laluan mencabar, menikmati keindahan alam dan merasai suasana komuniti di kawasan itu yang cukup istimewa.

Menurutnya, penyertaan peserta dari dalam dan luar negara termasuk Thailand membuktikan bahawa program ini mempunyai potensi untuk berkembang sebagai acara sukan lasak bertaraf serantau.

“Sebab itu, penganjuran kali ini perlu dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha membina jenama Gerik.

“Kita mahu orang datang ke Gerik, selain untuk menyertai program, mereka juga dapat menikmati keindahan Pulau Banding dan Tasik Temengor, menerokai keunikan Royal Belum, merasai makanan tempatan, bermalam di sini dan membawa pulang cerita yang baik tentang Hulu Perak,“ katanya.

Gerik Megatrails angkat potensi sukan lasak, ekopelancongan Hulu Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Program Gerik Megatrails 2026 di Lapangan Terbang Gerik, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 MEI 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Program Gerik Megatrails 2026 di Lapangan Terbang Gerik, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Saarani berkata, tahun ini juga amat signifikan kerana negara sedang memberi tumpuan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan dalam suasana ini, Perak perlu tampil dengan produk pelancongan yang berbeza dan mempunyai identiti tersendiri.

“Program ini boleh menjadi antara tarikan yang mempertemukan sukan lasak, alam semula jadi dan pengalaman komuniti dalam satu penganjuran.

“Kita sudah mempunyai contoh acara berasaskan alam di Hulu Perak seperti Royal Belum International Hornbill Expedition yang menarik perhatian peminat alam, pemerhati burung dan jurugambar.

Gerik Megatrails angkat potensi sukan lasak, ekopelancongan Hulu Perak
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed tidak melepaskan peluang membawa kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV) pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Program Gerik Megatrails 2026 di Lapangan Terbang Gerik, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 MEI 2026.

“Pengalaman itu menunjukkan bahawa Hulu Perak mempunyai tarikan semula jadi yang mampu menarik minat peserta luar apabila penganjurannya kemas dan ceritanya dipromosikan dengan baik.

“Maka, Gerik Megatrails juga boleh dibangunkan secara tersusun sebagai acara tahunan yang meriah, selamat dan memberi nilai tambah kepada promosi pelancongan daerah ini,” ujarnya.

Penganjuran Gerik Megatrails 2026 edisi ketiga yang diadakan menerusi kerjasama strategik antara Majlis Daerah Gerik (MDG), Kelab Pacuan Empat Roda Rimba Bara Gerik serta Kelab Motocross Gerik itu menjadi acara utama di dalam kalender acara pelancongan Gerik selain Fiesta Loma.

Pada tahun ini, sebanyak 150 kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan lebih 700 peserta motocross dari seluruh negara menyertai ekspedisi itu melibatkan laluan Hutan Simpan Temengor, Piah dan Kenering dengan jarak kira-kira 200 kilometer bermula hari ini hingga 11 Mei. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gerik Megatrails disasar jadi acara antarabangsa pelancongan sukan lasak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI