Musyawarah Nasional bukan semarakkan ketakutan tapi makmal pemikir bangsa – Zahid

KUALA LUMPUR – Musyawarah Nasional bukan untuk menyemarakkan ketakutan, mencetuskan perbalahan dan menuding jari mencari kesalahan.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia diadakan atas kesedaran bahawa keresahan bangsa tidak boleh dibiarkan menjadi keluhan dan perlu digerakkan dalam satu bentuk tindakan.

“Inilah tujuan Musyawarah Nasional yang saya hasratkan. Bukan sekadar untuk berbicara tentang masalah bangsa tetapi untuk menyusun semula kekuatannya. Bukan sekadar mengulang keresahan tetapi merumuskan penyelesaian dipandu oleh akal, adab dan akhlak.

“Bukan sekadar untuk bertanya apa yang telah hilang tetapi untuk menentukan apa yang mesti kita bangunkan semula. Keresahan ini tidak boleh dibiarkan berlegar di media sosial, menjadi perbualan di warung kopi atau terus tersimpan dalam ruang tertutup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Musyawarah Nasional Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya? di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, antara keresahan rakyat yang tidak boleh dipandang ringan adalah tentang anak muda yang mencari ruang pekerjaan, kebimbangan ibu bapa yang memikirkan kelangsungan kehidupan dan keperitan usahawan kecil yang bertarung mempertahankan perniagaan dan persoalan besar tentang hala tuju bangsa.

Jelasnya, keresahan-keresahan tersebut tidak boleh dijadikan sebagai pencetus kebencian dan modal politik sempit sebaliknya perlu diurus berasaskan ilmu.

Sehubungan itu beliau yang juga Presiden UMNO mahu musyawarah yang diadakan pada hari ini menjadi Makmal Pemikir Bangsa.

“Sebuah ruang untuk kita membedah keresahan orang Melayu, menguji fakta, memisahkan persepsi daripada realiti dan merumuskan tindakan.

“Di makmal ini, kita tidak datang sekadar membawa keluhan. Kita datang membawa akal, data, pengalaman dan keberanian untuk mencari penawar kepada penyakit bangsa,” ujarnya.- MGPerak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI