LUMUT – Satu mayat lelaki dipercayai mangsa bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ditemui jam 12 tengah hari tadi di perairan Pulau Pangkor dekat sini.
Menurut kenyataan dari Pangkalan Hadapan Carilamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), mayat tersebut telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, di sini dan tiba sekitar jam 12.45 tengah hari.
“Mayat lelaki itu ditemui oleh aset PSC 16 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kedudukan 4.8 batu nautika Timur Laut dari lokasi kejadian,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, sebuah bot dipercayai membawa 37 orang PATI warga Indonesia tenggelam di kedudukan kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor, pada Isnin.
Sehingga hari ini, jumlah mangsa yang ditemui selamat adalah seramai 23 orang iaitu 16 orang Lelaki dan tujuh orang perempuan.
Seramai lapan mangsa ditemui meninggal dunia manakala enam lagi masih hilang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keempat diteruskan hari ini, dengan keluasan sektor pencarian diperluas kepada 219.01 batu nautika persegi.
Ia tertumpu kepada sektor-sektor pencarian di kawasan penemuan mayat mangsa yang berjaya ditemukan pada hari kedua. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bot PATI karam: SAR fokus kawasan penemuan mayat sebelum ini


