IPOH – Semua pihak termasuk tokoh politik diingatkan agar supaya sentiasa bercakap berdasarkan kepada ilmu dan sumber yang benar bagi mengelakkan timbul sebarang salah faham umum.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenyataan yang dibuat tanpa fakta atau hanya bersandarkan khabar angin boleh membawa kepada tafsiran salah sehingga sehingga dikhuatiri mendorong kepada kegelisahan masyarakat.
“(Dalam agama) kita diasuh untuk bercakap dengan ilmu, dan ilmu itu kena ilmu yang bersumberkan daripada sumber yang benar.
“Ia bukan berasaskan kepada ‘hearsay’ ataupun kita membuat tafsiran yang salah. Selalunya tafsiran itu yang menjadikan kita buat benda salah (bercakap dalam konteks salah),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Peringkat Antarabangsa (InERIC) 2026 di Institut Tadbiran Islam Perak, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim serta Pengarah Perak Culinary Arts Academy@Kolej Komuniti Chenderoh, Meor M.Sharifuddin Meor Shukri.

Saarani terdahulu diminta mengulas berkenaan kenyataan seorang tokoh politik yang didakwa mempersendakan wibawa sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ dalam satu video ceramah yang tular di media sosial akhir-akhir ini.
Individu itu bagaimanapun dilaporkan memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau selain mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi.
Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, sesiapa sahaja termasuk ahli politik terdedah kepada melakukan kesilapan ketika berucap terutama dalam suasana emosi yang terlalu bersemangat.
Justeru ujar Saarani, semua pihak diingatkan untuk sentiasa berhati-hati di samping menjaga tutur kata terutama ketika menyampaikan ceramah atau ucapan kepada khalayak ramai.
“Semasa kita bercakap itu kadang-kadang kita ‘naik sheikh’ kita lupa semua benda. Kalau kita kurang ilmu, kita rujuk kepada orang yang berilmu untuk dapatkan kepastian.
“Jadi seboleh mungkin, saya sering pesan untuk diri saya sendiri, elakkan diri daripada bercakap menimbulkan perkara-perkara yang menyebabkan netizen mengecam kita dan kita terdedah kepada rasa kecil hati apabila orang mengata kepada kita kembali,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Majlis Ulama UMNO gesa pihak berkuasa agama siasat kenyataan Nik Zawawi


