Bot PATI karam: Dua lagi mayat ditemukan

LUMUT – Dua mayat masing-masing lelaki dan perempuan dipercayai mangsa bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan di dua lokasi berasingan pada Jumaat.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Muhamad Shukri Khotob berkata, satu mayat lelaki telah ditemukan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), FCB 1001 di kedudukan kira-kira 5.6 batu nautika barat daya dari Pulau Pangkor, pada jam 9.27 pagi.

Katanya, mayat tersebut kemudiannya dibawa ke jeti dan tiba pada jam 10.20 pagi untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

“Pada jam 2.35 petang, satu lagi mayat disyaki perempuan berdasarkan pakaian telah ditemukan oleh Vesel Nelayan Tempatan (VNT) PKFA 9573 di kedudukan kira-kira 31.5 batu nautika dari lokasi bot PATI yang disyaki tenggelam.

“Bot PERKASA 1239 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kemudiannya diatur gerak ke lokasi bagi membawa mayat tersebut ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan penemuan pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima itu menjadikan jumlah mangsa maut disahkan seramai 12 orang dengan dua lagi mangsa masih hilang.

Justeru kata beliau, Maritim Malaysia kini sedang giat berusaha menggerakkan SAR menerusi Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) dalam mencari dua mangsa berkenaan.

“Kesemua mayat yang ditemui telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Teluk Intan bagi proses pengecaman serta tindakan lanjut.

“Kawasan pencarian kini meliputi lebih 215.14 batu nautika persegi, dan Op Carilamat masih diteruskan secara intensif dengan penglibatan pelbagai agensi.

“Ia termasuk Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti nelayan tempatan dalam usaha mengesan baki mangsa yang masih belum ditemukan,” katanya lagi.

Dalam kejadian awal pagi 11 Mei lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia dilaporkan tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika barat dari Pulau Pangkor, dan daripada jumlah itu 23 berjaya diselamatkan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bot PATI karam: Dua mayat ditemukan, empat masih hilang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI