Polis siasat aspek tatatertib susulan penemuan dadah, senjata dalam lokap

IPOH – Polis menjalankan siasatan dari sudut tatatertib berhubung penemuan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam dalam lokap Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tindakan itu diambil bagi mengenalpasti kewujudan penglibatan mana-mana pegawai atau anggota, termasuk meneliti aspek penyeliaan dan pematuhan prosedur pengurusan lokap.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelemahan kawalan, kecuaian penyeliaan atau salah laku yang menjejaskan keselamatan dan integriti pengurusan Lokap,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, semua ketua jabatan, ketua polis daerah serta pegawai penyelia lokap telah diarahkan untuk mempertingkatkan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan sel tahanan.

“Susulan itu satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua barang kes berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan pemeriksaan mengejut yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membawa kepada penemuan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral IPD Ipoh.

Serbuan yang antara jam 9.30 malam hingga 3 pagi Selasa lalu itu dilakukan hasil maklumat awam diterima pihak berkuasa.

Pemeriksaan di lokap yang menempatkan empat Orang Kena Tahan (OKT) lelaki membawa kepada penemuan sebuah telefon pintar jenis Vivo pada tubuh salah seorang tahanan.

Manakala, pemeriksaan lanjut pula menemukan sebuah kotak yang menyembunyikan 22 paket plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 4.23 gram serta satu paket disyaki methamphetamine seberat 1.6 gram. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dadah, senjata dalam lokap: Pegawai dan anggota polis digantung tugas

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI