IPOH – Sistem perekodan kokurikulum guru secara manual dihapuskan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengurangkan beban tugas warga pendidik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, susulan itu pihak sekolah diberikan autonomi dalam menguruskan perekodan kokurikulum mengikut kesesuaian sebelum mencatatkan maklumat kokurikulum murid dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Katanya, sistem PAJSK itu juga perlu disepadukan dengan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) bagi memperkemas dan meningkatkan lagi kecekapan urusan agar lebih sistematik.
“Komitmen kita untuk terus memastikan beban guru (dikurangkan). Dan hasrat kita untuk memastikan guru-guru kita ini dapat menumpukan perhatian kepada semua ikhtiar pendidikan ini.
“Maka dengan ini sistem perekodan kokurikulum secara manual dihapuskan. Hapus satu sistem, maksudnya para guru boleh fokus pada kelas, boleh fokus pada murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 bertemakan ‘Guru Bitara Nadi Negara’ yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Jelas Fadhlina, pemansuhan sistem perekodan kokurikulum secara manual itu adalah satu daripada 12 inisiatif KPM untuk warga pendidik sempena sambutan hari guru pada tahun ini.
Menurut beliau, antara pengumuman baik lain untuk warga pendidik ialah peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru di sekolah seluruh negara.
Ujar beliau, peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan untuk inisiatif tersebut adalah sebanyak RM200 juta.
“KPM juga memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan kuarters.
“Oleh itu dengan ini, peruntukan bagi tujuan ini adalah sebanyak RM 110 juta dan tentunya berupaya memastikan guru-guru mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.
Dalam pada itu Fadhlina berkata, bagi menyokong pembangunan profesional para pendidik dalam literasi digital, kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 (L1) dan Tahap 2 (L2) diteruskan secara percuma kepada semua guru.
Ujar beliau, inisiatif berkenaan akan memberi manfaat kepada semua guru dengan ia melibatkan kos sebanyak RM40 bagi GCE L1 dan RM100 bagi GCE L2, bagi setiap seorang guru.
“Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Khas juga disediakan kepada guru-guru yang sanggup berkorban untuk mengajar di sekolah rintangan di bawah Projek Kelas Khas (ProKhas) seperti di Sekolah Dalam Hospital, Sekolah Terapung, sekolah pedalaman di kawasan P1, P2 dan P3.
“Selain itu, Biasiswa Perguruan Persekutuan juga diberikan kepada pemimpin sekolah termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana,” katanya.
Tambah Fadhlina, dalam usaha memperkasa budaya membaca di peringkat prasekolah, KPM memperkenalkan Program PAKAT dengan peruntukan sebanyak RM10.5 juta bagi penyediaan bahan bacaan tambahan bagi semua 10,515 buah kelas prasekolah seluruh negara.
“Bagi menyokong program-program di sekolah, KPM juga memperuntukkan sebanyak RM122.4 juta bagi pusingan pertama dalam menyokong program strategik sekolah dan murid,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


