Kerajaan bertegas tidak akan sokong pengampunan Jho Low – Anwar

IPOH – Kerajaan menegaskan bahawa Malaysia tidak sama sekali akan menyokong atau mempertimbangkan berhubung cubaan memohon pengampunan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga tidak pernah mempertimbangkan sebarang bentuk sokongan terhadap individu terbabit memandangkan kesalahan dikaitkan dengannya melibatkan unsur jenayah.

Katanya, kenyataan beliau sebelum ini bahawa ‘perkara tersebut tidak berbangkit’, tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tiada isu, sebaliknya ia bermakna perkara itu tidak dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Saya kata tidak berbangkit bukan bermakna tiada isu. (Sebaliknya) yang saya maksudkan ialah kerajaan tidak mempertimbangkan sama sekali jika dia memohon pengampunan.

“Ini kerana (kesalahan yang dilakukan) ia melibatkan kecurangan, jenayah dan kerugian berbilion ringgit kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

Mengulas lanjut Anwar berkata, sebarang permohonan pengampunan melibatkan Jho Low tidak akan dilayan memandangkan ahli perniagaan itu didakwa terlibat dalam salah laku dan kerugian kewangan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apabila saya sebutkan ‘tidak diberi pertimbangan, ada beberapa media melaporkan dengan cara lain. Sebaliknya ia bukan isu untuk kita beri tumpuan atau pertimbangkan. Itu maksudnya” jelas beliau.

Akhbar kewangan antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa lalu melaporkan Jho Low, dilaporkan sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Trump.

Permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, mengikut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.

Sekiranya permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.

Laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa laman web Jabatan Keadilan (DoJ) AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Jho Low.

Media antarabangsa itu melaporkan butiran permohonan tersebut dikategorikan sebagai ‘Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman’ (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.

Jho Low menjadi individu yang paling dikehendaki susulan dakwaan peranannya sebagai dalang utama dalam skandal penyelewengan dana berbilion ringgit milik 1MDB, syarikat pelaburan strategik milik kerajaan Malaysia. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

1MDB: Empat surat daripada pemerintah Arab Saudi palsu- Hakim

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI