IPOH – Seramai 230 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari kawasan Parlimen Tambun menerima manfaat menerusi Program Bantuan Pelajaran MADANI Peringkat Parlimen Tambun yang membabitkan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM178,000.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, program itu adalah usaha berterusan Parlimen Tambun dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga khususnya dalam menghadapi peningkatan kos pendidikan serta perbelanjaan harian sepanjang tempoh pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).
Menurutnya, menerusi bantuan tersebut, pelajar peringkat diploma menerima sumbangan sebanyak RM500 setiap seorang manakala pelajar ijazah sarjana muda menerima RM1,000 setiap seorang bagi membantu menampung keperluan pembelajaran, penginapan, pengangkutan serta perbelanjaan asas pengajian.
“Pelaksanaan program bantuan pendidikan itu mencerminkan komitmen berterusan Parlimen Tambun dalam memastikan agenda pembangunan pendidikan dan modal insan terus diberi perhatian khusus, terutama melibatkan golongan anak muda yang bakal menjadi aset penting negara pada masa hadapan.

“Selain membantu mengurangkan tekanan kewangan keluarga, inisiatif tersebut turut diharap mampu meningkatkan motivasi pelajar untuk terus menumpukan perhatian terhadap pengajian serta mencapai kecemerlangan akademik dalam bidang masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, program bantuan tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan terhadap aspek kesejahteraan rakyat, pembangunan insan, pendidikan berkualiti serta peluang yang lebih adil kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun akan terus komited memperkukuh pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan demi memastikan golongan pelajar khususnya di kawasan Tambun terus mendapat sokongan sewajarnya dalam melanjutkan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Simbolik penyerahan bantuan kepada 10 pelajar telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sempena Majlis Peluncuran Skim PADURI MADANI yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun hari ini.
Sementara itu, baki 220 pelajar lagi menerima sumbangan masing-masing dalam sesi penyerahan yang berlangsung di Mydin Meru Raya dalam program yang disempurnakan oleh Mohamad Hairul pada hari yang sama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


