KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi kepercayaan untuk melaksanakan Program e-Perkasa SPM 2026 bagi membantu anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif pendidikan strategik Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan pendidikan keluarga ATM terus diperkasa.
Katanya, kerjasama strategik melibatkan institusi pendidikan tinggi seperti UPSI itu mampu memperluaskan peluang pendidikan kepada anak-anak warga ATM, khususnya mereka yang memerlukan bimbingan tambahan bagi meningkatkan pencapaian akademik.
“Program seperti e-Perkasa SPM bukan sahaja membantu meningkatkan kesiapsiagaan pelajar menghadapi peperiksaan, malah menjadi platform penting dalam membina keyakinan diri, motivasi serta masa depan generasi muda keluarga ATM.
“Inisiatif ini memperlihatkan usaha kerajaan dan Yayasan LTAT dalam memperkasakan pendidikan keluarga ATM menerusi akses kepada pembelajaran berkualiti dan sokongan akademik yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Hotel Royale Chulan, di sini.
Pada majlis sama turut menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan LTAT termasuk sumbangan berjumlah RM376,488 kepada UPSI bagi pelaksanaan Program e-Perkasa SPM 2026.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, peningkatan penyertaan daripada 80 pelajar pada tahun lalu kepada 664 pelajar tahun ini membuktikan keyakinan tinggi Yayasan LTAT terhadap keupayaan UPSI menyediakan sokongan akademik yang berkualiti.
Kata beliau, program berkenaan bukan sekadar platform tuisyen dalam talian, sebaliknya menjadi model intervensi pendidikan digital yang menyeluruh menerusi penggunaan teknologi pembelajaran, analisis prestasi, pemantauan akademik dan pendekatan mentor-mentee.
Tambah Md Amin, program e-Perkasa SPM 2026 dilaksanakan bermula April hingga Oktober menerusi pendekatan pembelajaran digital melibatkan lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
“Bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan berkesan, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI dipertanggungjawabkan sebagai fakulti pelaksana utama dengan kerjasama UPSI Holdings Sdn. Bhd.
“Antara komponen utama program e-Perkasa ialah kandungan pembelajaran komprehensif, analisis prestasi pelajar, intervensi akademik awal, laporan analitik pembelajaran serta dashboard pengurusan bagi memastikan setiap pelajar menerima sokongan mengikut tahap pencapaian masing-masing.” katanya.
Beliau berkata, UPSI komited untuk terus memainkan peranan sebagai peneraju pendidikan negara dengan menterjemahkan kepakaran akademik, pedagogi dan khidmat komuniti kepada program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya keluarga ATM. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


