TAIPING merupakan antara bandar a living museum atau ‘muzium hidup’ di Malaysia yang menyimpan pelbagai kisah perkembangan awal negeri Perak terutama ketika era perlombongan bijih timah pada abad ke-19.
Bandar yang terkenal dengan julukan ‘Bandar Hujan’ itu bukan sahaja dikenali kerana keindahan landskap alam semula jadi, malah kaya dengan bangunan warisan kolonial yang masih teguh berdiri hingga ke hari ini.
Terletak di persimpangan antara Jalan Tupai dan Jalan Kota, tersergam Menara Jam Taiping yang menjangkau usia lebih daripada 140 tahun serta menjadi antara mercu tanda ikonik pelancongan dan cukup sinonim dengan identiti bandar warisan berkenaan.

Menara jam yang pernah dikenali dengan nama The Fort itu pada asalnya dibina menggunakan bahan binaan kayu dan berdiri pada tahun 1881.
Bagaimanapun, kolonial British ketika itu kemudiannya menggantikan binaan menara tersebut dengan dengan struktur batu bata yang lebih kukuh selepas 10 tahun kemudian.
Menara Jam Taiping yang dibina dengan elemen seni bina neoklasik dibangunkan dua tingkat dengan loceng ditempatkan di tingkat atas.

Selain itu ia juga beberapa bahagian menara berkenaan dilengkapi dengan beberapa lubang yang dipercayai berfungsi sebagai lubang senjata untuk tujuan pertahanan.
Mengikut sejarah, pada tahun 1908, bangunan itu pada awalnya dijadikan sebagai balai polis selain berperanan sebagai balai bomba oleh pentadbiran kolonial British.

Justeru itu ia boleh dianggap sebagai lokasi penubuhan awal pasukan bomba bagi di Negeri-negeri Melayu Bersekutu ketika itu.
Selepas Perang Dunia Kedua, Menara Jam Taiping kemudian tidak lagi berfungsi sebagai balai polis dan ia dibiarkan kosong dalam beberapa tempoh.
Difahamkan, bangunan ini pada asalnya merupakan struktur berbentuk seperti kubu segi empat, namun sebahagian daripadanya telah dirobohkan selepas tahun 1950-an dan kekal pada bentuk sesdia ada sehingga kini.
Kini Berfungsi Sebagai Pusat Interpretasi Pelawat
Bangunan yang menjadi saksi bisu kepada sejarah dan pembangunan Taiping itu kini siap dibaik pulih dengan melibatkan kos sebanyak RM400,000 oleh Kementerian Kewangan selain dana daripada pelbagai pihak, termasuk Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, ‘The Fort’ juga telah dinaik taraf dan kini berfungsi sebagai Pusat Interpretasi Pelawat yang interaktif dan dikendalikan secara sukarela oleh Taiping Tourism Association (TTA).

Kata beliau, inisiatif Jejak Kedamaian Taiping itu akan menjadikan bangunan bersejarah berkenaan sebagai tempat sehenti buat pelancong untuk mengenali dan memahami sejarah Taiping dengan lebih mendalam.
“Ini merupakan langkah baik daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan, Habitat Foundation, MPT dan pelbagai pihak lain dalam menjayakan usaha membaik pulih serta menaik taraf menara jam ini.
“Oleh itu, kita berharap agar lebih ramai pelancong dapat memperoleh pelbagai maklumat berkaitan tentang sejarah dan pembangunan di Taiping sekiranya mereka berkunjung ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pengubahsuaian Dalaman Pusat Interpretasi Pelawat dan Pelancaran Jejak Kedamaian Taiping, di pekarangan menara jam berkenaan, baru-baru ini.

Sze Yee berkata, antara tarikan utama di pusat interpretasi berkenaan adalah model tiga dimensi Bandar Taiping, paparan visual digital, pameran sejarah dan sebagainya.
“Apa yang kita lihat hari ini bukan sekadar naik taraf sebuah bangunan, tetapi satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Taiping sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing.
“Taiping mempunyai semua ramuan untuk muncul sebagai destinasi pelancongan bertaraf tinggi, iaitu sejarah yang kaya, alam semula jadi yang indah, serta suasana yang tenang serta autentik,” katanya lagi.

Justeru itu, sesiapa yang berkunjung ke Taiping, persinggahan di Menara Jam Taiping bukan sekadar menikmati keindahan seni bina lama, tetapi ia juga dapat menyelami kisah panjang sebuah bandar yang pernah menjadi nadi awal perkembangan di Perak. – MG Perak
ARTIKEL BERKAITAN:


