TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkasa penggunaan tulisan Jawi dalam setiap bahan hebahan majlis rasminya sebagai usaha memartabatkan warisan bangsa dan identiti institusi pendidikan tersebut.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pelaksanaan itu selaras dengan aspirasi universiti yang menekankan nilai adab, akhlak dan jati diri dalam kalangan warga kampus.
“Sehubungan itu, penggunaan tulisan Jawi akan turut diperluaskan pada bahan komunikasi rasmi majlis termasuk kain rentang (banner), poster dan paparan visual program universiti.
“UPSI akan mengangkat kembali tulisan Jawi dalam majlis-majlis universiti sebagai sebahagian daripada usaha kita kembali kepada akar dan asal usul bangsa serta pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Executive Talk 5.0: Kelestarian Kewangan UPSI Pasca Krisis Asia Barat di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah hari ini, yang dihadiri pengurusan tertinggi universiti, dekan, ketua jabatan dan warga pentadbiran di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini baru-baru ini.
Dr. Md Amin berkata, UPSI sebagai universiti pendidikan tertua negara perlu memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya dan sejarah bangsa Melayu termasuk penggunaan tulisan Jawi yang menjadi lambang ketamadunan ilmu.
Menurut beliau, usaha berkenaan juga seiring dengan pendekatan universiti yang kini membawa slogan “Adab, Akhlak, Akademik” dalam memperkukuh identiti warga UPSI.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan warga universiti supaya sentiasa menghargai sejarah penubuhan institusi berkenaan yang bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) sebelum berkembang menjadi UPSI hari ini.
“Kita harus tahu di mana asal usul kita, kita harus bangga di mana kita bermula dan kita harus mewarisi sejarah ini buat selama-lamanya,” ujar beliau.
Pada majlis sama, beliau turut menyentuh pelbagai agenda transformasi universiti termasuk reformasi latihan mengajar, penyesuaian kaedah penilaian pelajar dalam era kecerdasan buatan (AI), pengukuhan budaya akademik serta langkah penjimatan susulan cabaran kewangan semasa. -MG Perak


