KUALA LUMPUR: Perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja gig akan mula aktif selepas berdaftar dengan penyedia perkhidmatan platform dan menerima tugasan pertama.
Mekanisme perlindungan secara postpaid atau pascabayar itu akan memperuntukkan perlindungan bagi tempoh setahun, sebaik sahaja pekerja gig memenuhi dua prasyarat awal tersebut.
Perincian sedemikian diutarakan ketika sesi pembentangan Rang Undang-Undang Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) untuk bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan, pendekatan perlindungan itu sekali gus meredakan kebimbangan sekiranya pekerja gig menjana pendapatan secara separuh masa atau sambilan.
“Selepas memenuhi dua prasyarat awal, status perlindungan PERKESO masih aktif walaupun pekerja gig tidak menerima tempahan selama beberapa hari atau belum sempat mencukupkan bayaran caruman minimum, iaitu RM13.10 sebulan.
“PERKESO kekal komited untuk memudah cara dan menangani sebarang kerenah birokrasi terhadap penguatkuasaan Akta 872, demi memastikan hak pekerja gig kekal terbela khususnya dalam mendapat perlindungan keselamatan sosial,” menurut kenyataan dikeluarkan PERKESO, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) mengenai jaminan dan status perlindungan PERKESO mereka melalui skim LINDUNG Kendiri.
Mengulas lanjut, PERKESO menjelaskan bahawa Seksyen 83(e) Akta 872 memperuntukkan kewajipan penyedia platform untuk memaklumkan kepada pekerja gig supaya membayar baki caruman bulanan minimum.
Kaytanya, peruntukan undang-undang itu terpakai sekiranya jumlah caruman yang dipotong oleh penyedia platform tidak mencapai kadar minimum caruman berdasarkan pendapatan bulanan yang diinsuranskan seperti dipilih di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Pekerja gig juga boleh menyemak jumlah caruman terkumpul dan status perlindungan menerusi aplikasi Prihatin,” menurut kenyataan sama. – MalaysiaGazette


