Lima lelaki ahli sindiket curi kabel TM ditahan

TAIPING – Polis menahan lima lelaki yang dipercayai aktif dalam sindiket mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Abd Malek Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 35 hingga 39 tahun itu ditahan sekitar jam 7.30 pagi semalam ketika sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping menjalankan rondaan pencegahan jenayah.

Menurutnya, ketika kejadian, anggota polis telah terserempak dengan sekumpulan lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai sedang menjalankan kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik TM.

“Hasil tindakan pantas anggota, lima lelaki berjaya diberkas. Sebuah lori jenis Daihatsu Delta V57A berwarna merah serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memotong dan mengangkut kabel turut dirampas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, dua daripada suspek sedang memotong kabel, manakala tiga lagi sedang mengangkat kabel ke dalam lori.

“Siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai merupakan sebahagian daripada sindiket yang aktif melakukan kegiatan curi kabel TM di sekitar daerah Taiping.

“Modus operandi mereka adalah menyasarkan kabel bawah tanah milik TM yang mengandungi logam bernilai tinggi untuk dijual semula,” katanya.

Abd Malek berkata, polis kini giat mengesan beberapa lagi ahli kumpulan yang masih bebas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara, denda sehingga RM300,000 atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis tahan lelaki disyaki curi kabel TM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI