IPOH – “Sampai hari ini saya masih rasa sangat bersalah. Saya memang selalu tolong mak saya meniaga, ikut beli barang, bantu memasak dan tahu macam mana susahnya mak saya cari rezeki,” luah peniaga, Nor Atheerah Nadzirah Mior Ikram Shah, 21.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata demikian ketika menceritakan detik cemas yang menimpa dalam kejadian samun di gerai nasi bajet milik ibunya di tepi Jalan Lebuh Meru Raya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian dia berseorangan kerana ibunya menghantar pesanan pelanggan (COD) di kawasan berhampiran bersama pembantu gerai mereka.
Katanya, sekitar jam 12 tengah hari semalam, dua lelaki menaiki motosikal datang ke gerai tersebut untuk membeli makanan dalam keadaan yang agak mencurigakan.

“Bila pelanggan datang, memang saya akan tanya, nak lauk sekali atau asing? Saya tanya macam biasa, tapi dia (suspek) asyik alihkan pandangan mata dan memesan satu nasi bungkus.
“Saya sempat bertentang mata dengan dia, tapi dia macam tak nak saya cam muka dia. Cara dia bercakap pun saya tak berapa faham. Dari situ saya dah rasa ada sesuatu yang tak kena.
“Kemudian, dia meminta pesanan tambahan dua lagi nasi bungkus. Kali kedua saya cedok nasi, waktu itulah dia terus ambil peti duit itu,” katanya.
Menurutnya, suspek memesan makanan seperti biasa sebelum meminta tambahan pesanan yang menimbulkan rasa curiga dalam dirinya.

“Saya masih pegang bekas nasi itu sebab saya takut. Kami meniaga tepi jalan, kawasan terbuka, lagi-lagi saya seorang diri. Apa-apa saja boleh jadi.
“Bila saya buka tong nasi untuk buat order (pesanan) kedua, saya nampak dia macam teragak-agak nak ambil kotak (peti wang) itu. Kali kedua saya cedok nasi, waktu itulah dia terus ambil peti wang itu,” katanya.
Tambahnya, sebelum melarikan diri, suspek sempat menyerahkan telefon bimbit yang dipegang kepada rakannya yang sudah bersedia di atas motosikal.
Nor Atheerah berkata, dia cuba mengejar suspek sambil meminta bantuan orang ramai kerana memahami betapa sukarnya mencari wang hasil berniaga malah ibunya yang pada ketika itu tiba di gerai tersebut turut cuba mengejar motosikal dinaiki dua lelaki terbabit namun mereka berjaya melarikan diri.

Pelajar lepasan Diploma Pemasaran Kolej Vokasional Ipoh itu berkata, walaupun jumlah wang yang dilarikan hanya RM300, ia amat besar nilainya buat mereka sekeluarga.
“Orang mungkin nampak RM300 itu sedikit, tapi bagi kami nak dapat RM300 memang susah. Itu duit hasil meniaga dari pagi sampai tengah hari.
“Saya memang menggigil teruk. Saya rasa macam nak peluk sesiapa saja masa itu. Lepas itu ada pelajar datang tenangkan saya. Tak lama kemudian abang saya sampai. Bila nampak abang, baru saya rasa boleh lepaskan semuanya. Saya peluk dia lama-lama sambil menangis,” katanya.
Dia masih dihantui rasa bersalah kerana mengetahui pengorbanan ibunya yang bangun seawal jam 3 atau 4 pagi setiap hari demi mencari rezeki buat keluarga.
“Kami bukan orang senang. Kami cari rezeki sendiri. Sebab itu saya rasa bersalah sangat dekat mak saya. Banyak kali saya minta maaf dengan dia,” jelasnya.

Sementara itu, ibu Nor Atheerah, Masjida Yanti Nasution Abdullah Omar, 51, berkata, ketika kejadian itu berlaku dia berdoa supaya anak perempuan tunggalnya itu selamat.
“Pada ketika itu saya berdoa, Ya Allah tolonglah selamatkan anak aku. Tolong lindung dia Ya Allah. Aku dah reda. Dia (anak) tahu perjuangan saya macam mana. Sebab tu dia nak selamatkan duit itu,“ ujarnya.
Dia berkata, di sebalik ujian yang mereka lalui, sebenarnya ramai orang yang ambil berat terhadap mereka sekeluarga.
Katanya, ramai yang datang memberi sokongan moral dan bantuan selepas melihat video viral kejadian tersebut di media sosial.
“Alhamdulillah dia orang ganti. Dapatlah tutup semula apa yang hilang. Sekurang-kurangnya dia (anak) tak ada rasa sesal,“ jelasnya yang sudah berniaga sejak 20 tahun lalu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada peniaga wanita berusia 21 tahun mendakwa kerugian kira-kira RM2,000 melibatkan wang tunai dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13.
Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, pengadu sedang berniaga dan membungkus makanan sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna perak untuk membeli makanan.
Beliau berkata, ketika pengadu sedang membungkus nasi, suspek dipercayai mengambil sebuah peti wang yang mengandungi wang tunai serta sebuah telefon bimbit milik pengadu sebelum melarikan diri menaiki motosikal ke arah Bulatan Meru Raya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 25 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki berbaju merah, berseluar panjang dan memakai topi keledar dipercayai melarikan sebuah peti wang sebelum meloloskan diri bersama seorang lagi lelaki dengan menaiki sebuah motosikal. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


