Perak tinjau teknologi bandar pintar moden di Shanghai

IPOH – Perak terus memperkukuh agenda pembangunan bandar pintar menerusi lawatan teknikal ke Taopu Smart City di Shanghai, China semalam bagi meninjau pelaksanaan teknologi pengurusan bandar pintar moden itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Taopu Smart City yang dahulunya merupakan kawasan industri berjaya ditransformasikan menjadi bandar pintar moden.

Menurutnya, Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah turut bersama-sama mengikuti lawatan tersebut.

“Di sini, kita dapat lihat secara lebih dekat pelaksanaan pembangunan bandar pintar, khususnya dalam aspek digital twin, Internet of Things (IoT), sistem command centre dan pengurusan bandar secara masa nyata.

“Menariknya, Taopu Smart City ini dahulunya kawasan industri sebelum ditukar menjadi bandar pintar moden yang lebih tersusun, cekap dan mesra teknologi.

“Banyak perkara yang boleh dijadikan contoh, terutama dalam penggunaan data dan sistem pemantauan berpusat untuk bantu urus bandar dengan lebih cekap dan teratur,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada Misi Perdagangan dan Pelaburan ke China yang melibatkan delegasi kerajaan negeri diketuai Saarani yang berlangsung dari 17 hingga 24 Mei.

Saarani berkata, pengalaman dan pendedahan yang diperoleh menerusi lawatan itu amat bermakna bagi memperkukuh agenda pembangunan bandar pintar di negeri ini, khususnya dalam memperkasakan peranan Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC) serta persediaan awal membangunkan Perak State Command Centre pada masa hadapan.

Katanya, pembangunan Perak State Command Centre penting bagi memudahkan pemantauan operasi, penyelarasan data serta tindakan lebih pantas antara agensi kerajaan.

“InshaAllah, kita akan terus belajar dan meneroka pendekatan baharu supaya pengurusan bandar di Perak jadi lebih cekap, moden dan memberi manfaat terus kepada rakyat,” ujarnya.

Tahun lalu, kerajaan negeri telah melancarkan dokumen Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan ‘Blueprint’ atau Rangka Tindakan Bandar Pintar Negeri Perak 2040 bagi  menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 serta menyumbang kepada matlamat Malaysia sebagai Negara Pintar menjelang 2040. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak lancar Pelan Tindakan Ekonomi Digital 2030, Blueprint Bandar Pintar 2040

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI