Pemimpin PKR hadir majlis Parti Bersama perlu beri penjelasan

PADANG RENGAS – Pemimpin PKR yang hadir pada majlis pengumuman Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) baru-baru ini, perlu tampil memberikan penjelasan berhubung kehadiran mereka pada majlis berkenaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia bagi memastikan tindakan itu tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti serta tidak disalah tafsir sebagai mencerminkan pendirian rasmi PKR.

“Mereka harus tampil dan berikan penjelasan yang sewajarnya. Kalau mereka tidak ambil langkah sedemikian dan membiarkan hal ini, jangan marah kalau ada dalam kalangan ahli parti yang terus mempersoalkan tindakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Family Day Padang Rengas bersempena dengan Program Fun Run Untukmu Ibu 2026 di Kampung Labu Kubong, di sini hari ini.

Muhammad Kamil turut menegaskan tindakan bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengambil alih BERSAMA, tidak memberikan kesan besar terhadap kekuatan PKR pada peringkat akar umbi.

Sementara itu, beliau menyifatkan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kesilapan dilakukan Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kisah sahabat Nabi Muhammad SAW mungkin dipengaruhi oleh penulisan sejarah sebagai tidak bertanggungjawab.

Muhammad Kamil berkata alasan itu bukan sahaja dangkal, malah dilihat cuba menormalisasikan penyampaian riwayat meragukan sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil berkata langkah penjimatan dan pendekatan berhemah dilaksanakan kerajaan susulan krisis bekalan global tidak menjejaskan perancangan sedia ada dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata ia terbukti melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, bantuan serta program pembangunan rakyat meskipun dalam pendekatan yang lebih bersasar dan berskala kecil.

Pada Rabu lepas, jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri berkata langkah kerajaan menyelaras perbelanjaan operasi kementerian dan agensi berjaya mencapai kira-kira 50 peratus daripada sasaran penjimatan.

Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memaklumkan langkah itu menunjukkan hasil positif tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan program kementerian. —BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI