Sultan Nazrin tunai solat sunat Aidiladha bersama 1,000 jemaah

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), di sini, pada Rabu.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pada jam 8.30 pagi itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.

Imam Besar, Abd Farid Salleh yang mengimamkan solat sunat turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Ibadah Korban: Lambang Penyucian Jiwa’.

Teks khutbah berkenaan menekankan bahawa setiap umat diuji Allah S.W.T. dengan perkara yang kita cintai dan tanpa kita sedar ia adalah sifat kesombongan diri.

Khatib menerusi teks sama menekankan bahawa orang sombong merasa dirinya lebih baik, lalu dengan angkuh sanggup menolak kebenaran.

“Sombong menyebabkan kita sukar menerima teguran, susah mengakui kesilapan, lalu lidah terlalu berat untuk mengucapkan kata-kata, ‘Saya tersilap, atau saya telah melakukan kesalahan atau saya memohon maaf’.

“Iblis tersesat bukan kerana kurang ilmu, tetapi Iblis tersesat kerana kesombongan? Keengganan untuk sujud kepada Adam AS berpunca daripada
ungkapan yang penuh keangkuhan ‘Aku lebih baik daripadanya'”, katanya.

Katanya lagi, menyembelih sifat sombong memerlukan kesediaan untuk merendah diri; bersedia mengakui bahawa kita telah tersilap dan memilih untuk memohon maaf, meskipun hati masih berat; memilih berdiam diri, meskipun kita mampu membalas hujah; terbuka menerima bahawa pandangan orang lain lebih baik daripada pandangan kita.

“Semoga pada Hari Raya Aidiladha ini, bukan sahaja haiwan korban yang berjaya ditumbangkan ke bumi, tetapi turut menggugurkan sifat sombong yang sekian lama dibiarkan hidup dalam diri kita, dan sifat takabur yang telah membutakan jiwa kita,” katanya.

Usai solat sunat, Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Dewan Bandaran Ipoh, dekat sini. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI