Malaysia kekal peneraju ekonomi Islam dunia inisiatif kerajaan Madani – Kor Ming

PUTRAJAYA – Pengiktirafan Malaysia sebagai negara dengan ekonomi Islam paling kukuh di dunia bagi tahun 2025 membuktikan keyakinan berterusan masyarakat antarabangsa terhadap kekuatan ekonomi negara, kestabilan politik serta keberkesanan dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kedudukan Malaysia di tangga teratas berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/2025 bukan sahaja membanggakan negara.

Sebaliknya, ia mencerminkan keupayaan Malaysia mengekalkan daya saing peringkat global dalam pelbagai sektor ekonomi Islam.

Menurut beliau, pencapaian tersebut turut memperlihatkan kekuatan ekosistem ekonomi negara yang merangkumi sektor kewangan Islam, industri halal, inovasi, pelaburan dan pembangunan mampan yang terus mendapat kepercayaan komuniti antarabangsa.

“Malaysia sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi Islam dunia. Pencapaian ini bukan datang secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan kerajaan dalam memastikan negara kekal stabil, berdaya saing dan diyakini pelabur.

“Ia juga membuktikan bahawa dasar yang dilaksanakan kerajaan berjaya mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi serta pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Kor Ming berkata, kedudukan Malaysia yang terus mengatasi beberapa negara Islam utama dunia menunjukkan asas ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh dan mampu menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Beliau berkata, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia turut didorong oleh komitmen kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus.

Selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan secara terancang dan inklusif.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk sektor awam, swasta, institusi kewangan, pemain industri dan rakyat yang bersama-sama memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Pencapaian ini adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Ia membuktikan bahawa apabila negara berada dalam keadaan stabil dan dasar pembangunan dilaksanakan dengan jelas, hasilnya dapat dilihat melalui pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kerajaan akan terus memberi fokus kepada agenda pembangunan rakyat termasuk memperluaskan akses kepada perumahan berkualiti, memperkasa pembangunan bandar yang mampan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi yang dicapai perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat melalui peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan serta akses kepada kemudahan awam yang berkualiti.

“Kerajaan Madani akan terus bekerja keras memastikan kemakmuran negara bukan sekadar angka dalam laporan ekonomi, tetapi dapat dirasai oleh rakyat menerusi peluang ekonomi yang lebih luas, pembangunan yang seimbang dan peningkatan taraf hidup,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat untuk terus mempertahankan kestabilan, perpaduan dan keharmonian negara yang menjadi antara faktor utama kejayaan Malaysia di mata dunia.

Katanya, kestabilan dan keyakinan yang dinikmati negara hari ini perlu terus dipelihara supaya Malaysia dapat mengekalkan kedudukannya sebagai antara negara Islam paling berjaya dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Laporan SGIE 2024/2025 meletakkan Malaysia sebagai negara dengan prestasi terbaik dalam ekonomi Islam global, mengukuhkan reputasi negara sebagai hab utama kewangan Islam dan industri halal dunia. – MGPerak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI