Tanjak bukan sekadar perhiasan, warisan Melayu yang sarat makna

PEMAKAIAN tanjak bukan sekadar perhiasan di kepala atau pelengkap busana tradisional semata-mata, sebaliknya ia lambang kepada identiti bangsa di alam Melayu sejak zaman-berzaman.

Pada setiap lipatan kain yang disulam dengan kehalusan seni, tersimpan pelbagai keunikan yang menjadikannya satu warisan budaya yang masih kekal hingga ke saat ini.

Menurut pengarang tanjak, Syed Ismail Syed Mat Deha, 50, setiap tanjak mempunyai cerita dan simbolisme tersendiri yang mana ia tidak boleh dipandang sebagai sekadar hasil lipatan kain semata-mata.

Pengarang tanjak, Syed Ismail Syed Mat Deha, 50, menunjukkan proses membuat tanjak di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 MEI 2026.

Bapa kepada dua anak yang berasal dari Manjoi, Ipoh itu berkata, atas sebab itu juga ia telah menarik minatnya untuk mula mengenali tentang proses pembuatan tanjak ketika berada di usia remaja.

“Ikutkan pada awal, ia sekadar suka-suka sahaja. Tidak ada niat pun hendak pakai, sebaliknya hanya suka tengok kepada pemakaiannya pada orang lain sahaja.

“Saya kemudian mula belajar secara sendiri-sendiri untuk hasilkan pelbagai jenis tanjak, namun ia lebih kepada jenis tanjak kreasi atau olahan bentuk moden.

“Namun, selepas saya mengetahui bahawa pembuatan tanjak mempunyai disiplin, kaedah dan adab tertentu, baru saya ambil inisiatif untuk mencari guru secara lebih serius,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak di sini, pada Jumaat.

Buku Destar Alam Melayu daripada Pengarah Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu, Dr Johan Iskandar Abdul Karim. Foto ABDULLAH YUSOF 29 MEI 2026.

Syed Ismail berkata, dia kemudian mendapat pendedahan secara khusus tentang proses sebenar penghasilan tanjak daripada Pengarah Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu, Dr Johan Iskandar Abdul Karim kira-kira sembilan tahun lalu.

Pengusaha perusahaan ‘Busana Sagor’ di Medan Selera Dato’ Sagor Ipoh itu memberitahu, minatnya terhadap tanjak turut dipengaruhi penglibatan dalam dunia persilatan yang menjadi antara pintu buat ramai penggemar warisan Melayu tersebut.

Tanjak Melayu Warisan Melayu Seni pembuatan tanjak Tanjak tradisional Identiti bangsa Melayu Budaya Melayu Perak
Pengarang tanjak, Syed Ismail Syed Mat Deha, 50, di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 MEI 2026.

“Pada lazimnya, ramai yang berminat dengan seni Melayu seperti tanjak atau keris ini datang daripada mereka yang mempelajari silat. Sebagai contoh, saya sendiri mula mengenali tanjak melalui persilatan.

“Dan jika dahulu saya fikir tanjak hanya dipakai pengantin ketika dalam majlis-majlis perkahwinan, tetapi hakikatnya pemakaian tanjak mempunyai makna yang lebih luas termasuk dalam membabitkan hal-hal adat istiadat Melayu,” ujarnya.

Identiti pada pemakai

Mengulas lanjut Syed Ismail berkata, tanjak mempunyai kedudukan yang tersendiri kerana pada setiap corak lipatan membawa kepada maksud tertentu yang terkait dengan individu yang mengenakannya.

Ujar beliau, setiap simpulan tanjak boleh dibahagikan kepada tiga lambang atau status utama iaitu tempat atau negeri negeri asal, latar belakang keturunan serta kedudukan atau jawatan.

Pengarang tanjak, Syed Ismail Syed Mat Deha, 50, menunjukkan proses membuat tanjak ‘Ayam Patah Kepak’ di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 MEI 2026.
Pengarang tanjak, Syed Ismail Syed Mat Deha, 50, mengambil wuduk sebelum membuat tanjak di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 MEI 2026.

Syed Ismail berkata, misalnya lipatan ‘Ayam Patah Kepak’ merupakan tanjak yang sinonim serta menjadi lambang kepada Kesultanan Negeri Perak dan ia pernah dipakai Sultan Perak Ke-34, Almarhum Sultan Azlan Shah.

“Tanjak bukan barang yang boleh dibuat main-main kerana dalam ilmu seni tanjak, ada simbol yang mewakili negeri, keturunan dan juga jawatan.

“Orang yang tidak berguru mungkin nampak bentuknya seperti sama, tetapi hakikatnya ia harus dilipat atau dibentuk dengan gaya yang tepat. Setiap tanjak ada seni ceritanya dan perkara itu hanya dapat difahami melalui pembelajaran secara serius,” katanya.

Tanjak Melayu Warisan Melayu Seni pembuatan tanjak Tanjak tradisional Identiti bangsa Melayu Budaya Melayu Perak
Pengarang tanjak, Syed Ismail Syed Mat Deha, 50, menunjukkan proses membuat tanjak ‘Ayam Patah Kepak’ di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 MEI 2026.

Beliau berkata, selain Ayam Patah Kepak, antara corak tanjak lain yang sinonim dengan negeri Perak adalah ‘Helang Menyusur Angin’, ‘Tok Beruas’, ‘Pancung Tak Bertanya’, Getam Pekasam’ dan sebagainya.

Kata beliau, kategori negeri, terdapat juga tanjak yang melambangkan kepada jawatan seperti panglima, termasuk corak ‘Gajah Gemulong’, ‘Gajah Mengamuk’ dan ‘Bulan Bidang’.

“Bagi kategori keturunan pula, ada tanjak yang mewakili keluarga atau susur galur tertentu seperti ‘Laksamana Raja Mahkota’, ‘Laksamana Muhammad Amin’ dan ‘Bugis Tak Balik’.

“Sebenarnya tanjak ini ibarat panji. Panji perlu sentiasa berada di tempat yang tinggi dan sebab itu ia tidak boleh diperlakukan sesuka hati,” ujarnya.

Pengarang tanjak, Syed Ismail Syed Mat Deha, 50, menunjukkan proses membuat tanjak di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 MEI 2026.

Menyentuh tentang proses pembuatannya, Syed Ismail berkata, penghasilan tanjak memerlukan penelitian yang tinggi kerana setiap jenis tanjak mempunyai ukuran, bentuk dan kaedah lipatan yang berbeza.

Kata beliau, antara cabaran dalam menghasilkan bentuk yang tepat bagi sesebuah tanjak adalah pada bahagian lipatan dan simpulan yang mana ia memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi.

“Kain yang digunakan boleh terdiri daripada kain hitam polos, songket atau kain pelikat. Namun saiz dan potongannya pula perlu mengikut bentuk tanjak yang hendak dibuat.

“Jika saiznya tidak tepat, tanjak itu masih boleh disiapkan, akan tetapi sifat dan rupanya tidak akan sama seperti tanjak warisan yang asli,” katanya.

Anak muda harapan kesinambungan warisan

Menurut Syed Ismail, perkembangan masa kini dilihat memberangsangkan apabila semakin ramai golongan muda menunjukkan minat untuk mendalami ilmu seni warisan Melayu seperti tanjak.

Beliau berkata, perkembangan itu memberi harapan baharu kepada usaha memelihara warisan Melayu agar ia tidak terhakis akibat arus perubahan zaman.

Pelbagai jenis tanjak hasil pengarang tanjak, Syed Ismail Syed Mat Deha, 50, di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 29 MEI 2026.

Walau bagaimanapun Syed Ismail mengingatkan agar generasi muda tidak terlalu ghairah dalam menghasilkan tanjak tanpa memahami falsafah dan seni di sebaliknya, dan akhirnya dikhuatiri boleh menghakis nilai sebenar tanjak.

“Perkara yang saya bimbang ialah apabila orang mencipta nama baharu atau bentuk sesuka hati sehingga tanjak itu lari daripada konsep warisan yang sebenar.

“Ini kerana setiap tanjak mempunyai cerita, sejarah dan maknanya sendiri. Jika perkara itu tidak dipelihara, kita bimbang ia akan kehilangan identiti asal yang diwarisi oleh orang terdahulu,” jelasnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Warisan seni kompang penyatu anak muda 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI