LARUT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Simpang Empat, Anak Kurau, Batu Kurau di sini dihentikan sementara petang Isnin selepas pencarian gagal menemukan sebarang petunjuk baharu.
Mangsa dikenali sebagai Zakaria Shamsuddin berusia 42 tahun dipercayai hilang sejak Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam.
Katanya, operasi SAR pada hari kedua melibatkan pencarian secara menyeluruh di beberapa sektor yang dikenal pasti di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan SAR menjalankan pencarian di empat sektor yang meliputi kawasan seluas kira-kira sembilan kilometer persegi di sekitar lokasi kejadian.
“Pencarian dilakukan dengan membahagikan anggota kepada sembilan pasukan yang terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit K9 JBPM serta orang awam.
“Operasi dilaksanakan dengan mengaplikasikan konsep Last Known Position (LAST) menggunakan teknik ‘fan searching’ bagi memperluaskan kawasan pencarian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sabarodzi berkata, operasi yang bermula sejak Ahad itu melibatkan kekuatan seramai 45 anggota dan sukarelawan daripada pelbagai agensi.
“Antara agensi yang terlibat ialah PDRM dengan kekuatan 10 anggota, Unit K9 JBPM (tiga), APM (tiga), JBPM (13) serta 16 orang awam.
“Operasi turut dibantu beberapa aset termasuk riga kenderaan milik JBPM, sebuah kenderaan APM, sebuah kenderaan dari PDRM serta sebuah lori Unit K9,” katanya lagi.
Ujar beliau, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau, Rosli Man kemudian memaklumkan operasi SAR dihentikan sementara pada jam 5 petang atas arahan pihak polis.
“Operasi pencarian akan disambung semula sekiranya terdapat petunjuk baharu yang boleh membantu mengesan mangsa,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SAR pendaki hilang: Komunikasi pasukan penyelamat masih terputus


