KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertingkat dan memperhebatkan penguatkuasaan terhadap premis yang menjalankan perkhidmatan jagaan kesihatan tanpa pendaftaran atau lesen sah di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Ia susulan peningkatan aduan yang diterima sejak lima tahun kebelakangan ini.
Setakat ini, sebanyak 70 kes sedang atau telah dibawa untuk pendakwaan di mahkamah.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima peningkatan aduan dan pertanyaan berkaitan dakwaan aktiviti rawatan atau perkhidmatan jagaan kesihatan yang dijalankan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen, termasuk yang melibatkan perkhidmatan perubatan estetik.
Menurut kementerian itu, sepanjang tempoh 2021 hingga kini, lebih 1,020 aduan diterima berhubung perkhidmatan jagaan kesihatan yang beroperasi di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen, dengan jumlah aduan menunjukkan peningkatan setiap tahun.
“Peningkatan aduan ini mencerminkan kebimbangan orang awam terhadap isu berkenaan serta kekhuatiran mengenai kelayakan individu yang menyediakan perkhidmatan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Susulan aduan yang diterima, KKM telah melaksanakan 320 serbuan ke atas premis yang disyaki beroperasi tanpa pendaftaran atau lesen sah.
Daripada jumlah itu, sebanyak 126 kertas siasatan dibuka manakala 194 kes dikenakan tindakan amaran dan teguran.
Sehubungan itu, KKM menegaskan bahawa aktiviti penguatkuasaan di bawah Akta 586 akan diteruskan secara berterusan menerusi pendekatan pemantauan, siasatan termasuk pengintipan berasaskan aduan serta tindakan penguatkuasaan berfokus.
Selain itu, kementerian berkenaan turut memperkukuhkan koordinasi operasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
KKM mengingatkan bahawa sebarang penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan hanya boleh dijalankan di premis yang berdaftar atau berlesen di bawah Akta 586.
“Penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 586 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, KKM memaklumkan, pihaknya telah merangka tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama Jabatan Kesihatan Negeri serta agensi penguatkuasaan berkaitan sebagai respons terhadap aduan yang diterima.
Orang ramai serta profesional kesihatan turut digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan melalui saluran rasmi di ckaps@moh.gov.my bagi membolehkan tindakan susulan diambil secara berhemah dan berasaskan bukti.
KKM turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap nasihat dan kenyataan rasmi yang dikeluarkan kementerian berkaitan penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen.
Menurut KKM, keselamatan pesakit dan orang awam serta kualiti perkhidmatan jagaan kesihatan kekal menjadi keutamaan yang perlu dipelihara dan dipertanggungjawabkan bersama oleh semua pihak. – MalaysiaGazette


