IPOH – Pengetahuan mendalam komuniti Orang Asli mengenai laluan dan keadaan hutan setempat menjadikan mereka antara pihak yang sesuai untuk dilibatkan dalam pengurusan kawasan pendakian serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain dipantau oleh Jabatan Perhutanan, kawasan hutan turut mempunyai komuniti setempat yang telah lama mendiami kawasan berkenaan dan memiliki pengetahuan mendalam mengenai persekitarannya.
“Penjagaan hutan ini selain daripada dijaga oleh jabatan, dia ada komuniti setempat iaitu ada penduduk asal yang memang menghuni kawasan itu. Kawasan dia itu, jadi mereka lebih mengetahui selok-belok dalam hutan tersebut.
“Ada waktunya masyarakat Orang Asli ini merungut sebab mereka tidak dimaklumkan tentang kehadiran pendaki-pendaki dan masuk begitu saja. Kemudian bila berlaku kehilangan, bila berlaku usaha untuk menyelamat, kita masuk dalam kawasan itu, kita langgar segala apa yang patut.
“Jadi itu sebahagiannya. Selalu tanaman-tanaman Orang Asli ada di situ sebab dia merungut juga kerana tanaman mereka termusnah apabila terlalu ramai anggota penyelamat masuk. Itu yang mereka rungutkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Perak Peringkat Negeri Perak 2026 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf.
Katanya, Tok Batin dan masyarakat Orang Asli perlu diberi peranan lebih besar terutama di kawasan yang menjadi lokasi pendakian bagi memastikan segala aktiviti dapat diselaraskan dengan lebih baik.
“Jadi sepatutnya, terutama Tok Batin, jika ada kawasan-kawasan pendakian mereka hendaklah juga dilibatkan sama. Jika berlaku usaha untuk menyelamat, mereka pun perlu dilibatkan sebab ‘they know better‘ kawasan itu,” ujarnya.
Mengulas cadangan melibatkan masyarakat Orang Asli sebagai malim gunung, beliau berkata pendekatan berkenaan telah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk Hutan Amanjaya dengan penglibatan komuniti setempat sebagai renjer dan malim hutan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pendaki hilang: Rasa tanggungjawab dorong sukarelawan Orang Asli bantu operasi SAR


