TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat pada Sabtu lalu selepas dua minggu dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen anaknya yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, wanita itu kelihatan ceria dan bersemangat ketika beliau melawatnya bersama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan di Hospital Tapah, hari ini.
Menurutnya, wanita itu turut menyuara hasrat selain ingin menghadiri majlis konvokesyen anaknya, beliau juga ingin kembali bekerja seperti sebelum ini.
“Dari kesihatan, semangat beliau, beliau mengatakan tadi nak cepat keluar hospital untuk mengikuti konvokesyen anak dia dan untuk sambung bekerja balik.
“Jadi, di peringkat kerajaan negeri tentulah membantu seberapa mana yang boleh dan kita ucapkan terima kasih kepada semua pihaklah,” katanya pada sidang media di Hospital Tapah, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri berkemungkinan akan membincangkan pemberian insentif kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada mesyuarat Exco Kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Terdahulu, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian ‘Trans Spencer Chapman’ pada jam 2 pagi 23 Mei lalu, melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Bagaimanapun wanita itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilaporkan dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu.
Pada Sabtu media melaporkan, Jaslinda berjaya ditemukan oleh masyarakat Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah kira-kira jam 3 petang.
Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah kemudian telah memberi rawatan awal kepada Jaslinda sebelum membawanya ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


