Jaslinda susut berat badan hampir 10kg

TAPAH – Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang selama dua minggu ketika menyertai ekspedisi di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, dipercayai mengalami susut berat badan hampir 10 kilogram (kg) sepanjang tempoh berkenaan.

Pengarah Hospital Tapah, Dr Wan Immi Salim berkata, bagaimanapun pihak hospital tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar penurunan berat badan wanita itu kerana tiada perbandingan berat badan dibuat sebelum dan selepas kejadian.

Menurutnya, mangsa masih menerima rawatan di wad wanita hospital berkenaan namun keadaannya semakin stabil dan bertambah baik.

“Okey, to be exact (secara jelas) berapa berat dia (Jaslinda) dah turun, kita tak boleh nak cakap tapi as you all can see there is a quite difference (terdapat perbezaan), antara masa dia pergi mendaki dan masa dia ditemui. Saya rasa mungkin hampir 10 kg.

“Untuk sokongan emosi dan sebagainya, kita memang tidak mempunyai kaunselor di sini (Hospital Tapah). Tapi dari semasa ke semasa, staf kami di wad akan memang bertanya sendiri keadaan beliau (Jaslinda).

“Saya sendiri juga bertanya sama ada beliau dapat rehat, dapat tidur dan sebagainya, dan alhamdulillah it’s actually all positive (semuanya positif),” katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini Jaslinda di Hospital Tapah di sini, hari ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan bersama Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi turut hadir melawat Jaslinda di hospital berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Immi berkata, Jaslinda memaklumkan telah terjatuh beberapa kali sepanjang berada di kawasan hutan serta terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter yang dipercayai menjadi punca tersasar daripada laluan asal pendakian.

“Beliau memang jatuh beberapa kali. So that’s why (Sebab itu) pada awal pemeriksaan, kita telah buat pemeriksaan saringan untuk kepalanya. Alhamdulilla,h tiada kecederaan pada kepala atau otak melainkan luka-luka di luar sahajalah.

“Selain itu, beliau mengalami beberapa luka pada badan akibat berada lama di dalam hutan selain kecederaan pada kaki. Di kaki beliau ada simen, tapi bukan simen penuhlah.

“Perubahan yang ditunjukkan sangat positif dan beliau juga gembira kerana dapat bertemu semula dengan ahli keluarga,” ujarnya.

Wan Immi berkata, mangsa menunjukkan perkembangan yang positif dan dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat sekiranya tiada sebarang komplikasi atau perubahan kesihatan.

Pada Sabtu media melaporkan, Jaslinda berjaya ditemukan oleh masyarakat Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah kira-kira jam 3 petang.

Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah kemudian telah memberi rawatan awal kepada Jaslinda sebelum membawanya ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kesihatan Jaslinda stabil, masih perlukan pemantauan rapi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI