BAGAN SERAI – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas ke dalam parit di Jalan Sungai Perikan, Simpang Ampat Semanggol di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.07 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai kemudiannya digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda yang dipercayai terbabas ke dalam parit.
“Seorang mangsa lelaki berusia 74 tahun dipercayai penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, anggota bertindak mengeluarkan mangsa dari parit dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat jam 8.45 pagi – MG Perak
Artikel Berkaitan:


