IPOH – Seramai 180 usahawanita di Perak telah menerima bantuan peralatan perniagaan menerusi Program Pengupayaan Wanita: Pemberian Bantuan Peralatan Perniagaan Wanita @ Biznita (Biznita) Tahun 2026.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM450,000 itu memberi tumpuan kepada wanita yang telah menjalankan perniagaan dan memerlukan sokongan peralatan bagi mengembangkan perusahaan masing-masing.
“Tujuannya ialah kita mahu meningkatkan keupayaan wanita melalui pemberian bantuan peralatan kepada wanita-wanita yang berniaga.
“Penerima ini merupakan usahawanita sudah memulakan perniagan di mana kita memberi bantuan peralatan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk ataupun perniagaan merekalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak selepas hadir ke Majlis Perasmian Kursus Transformasi Usahawan Wanita dan Majlis Pelancaran Bantuan Peralatan Perniagaan Negeri Perak di Hotel Seri Malaysia, di sini pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak, Jamilah Zakaria.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata, setiap peserta menerima bantuan peralatan yang berbeza mengikut jenis dan keperluan perniagaan masing-masing.
Menurutnya, kebanyakan penerima terdiri daripada pengusaha makanan dan minuman yang memerlukan peralatan bagi meningkatkan produktiviti perniagaan.
“Antara peralatan yang dimohon ialah chiller (peti penyejuk), mixer (mesin pengadun), oven (ketuhar) dan khemah perniagaan.
“Semua bantuan yang diberikan adalah berdasarkan keperluan yang dikenal pasti dan dimohon sendiri oleh usahawan wanita terbabit,” katanya.
Program Biznita yang merupakan inisitif Kerajaan Negeri Perak membantu usahawan wanita meningkatkan daya saing perniagaan selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keluarga dan komuniti setempat. -MG Perak


