IPOH – Tertarik dengan bacaan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan di asrama ketika zaman persekolahan menjadi titik permulaan perjalanan seorang pemuda Orang Asli suku Temiar mendalami Islam sehingga berjaya menghafaz al-Quran 30 juzuk.
Kejayaan itu membolehkan Osman Hamzah, 25, dari Kampung Santeh Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Legap, Sungai Siput diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah tahun ini yang disampaikan sendiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekali gus menerima wang tunai RM5,000, komputer riba, plak dan sijil penghargaan.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu melahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan yang diterimanya.
“Saya berasa gembira, teruja, seronok dan sebagainyalah dapat menerima anugerah khas ini daripada Tuanku sendiri dan berharap menaikkan semangat untuk diri sendiri bagi meneruskan perjuangan serta menjadi inspirasi kepada yang lain-lain,” katanya yang memeluk Islam sewaktu berusia 13 tahun.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini, malam tadi.
Beliau mula tertarik untuk mengenali agama Islam ketika menetap di asrama semasa zaman persekolahan apabila kebanyakan rakannya beragama Islam.
“Saya masuk Islam sebab kawan-kawan kerana saya tinggal di asrama, jadi masa bersama mereka lebih lama dan kebanyakkannya beragama Islam.
Jadi, saya mula tertarik dengan aktiviti harian mereka seperti solat berjemaah, mengaji dan sebagainya. Dari situ, teruja nak tahu dan saya ambillah langkah untuk mengenali Islam itu sendiri,” jelasnya.

Penuntut ijazah dalam bidang al-Quran dan as-Sunnah di Universiti Sultan Idris Shah (USAS) itu berkata, alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang sering diperdengarkan di asrama telah menarik minatnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab suci itu, sebelum beliau memeluk Islam.
“Saya tertarik dengan al-Quran sebab masa sekolah dahulu dia ada masa di asrama dia ada dipasangkan satu audio al-Quran. Masa itu saya tidak tahu apa itu al-Quran. Saya dengar macam lagu tapi tidak faham.
“Jadi saya bertanya dengan kawan-kawan yang beragama Islam, berjumpa dengan ustaz-ustaz, tanya dan dari situlah saya mula mendalami al-Quran,“ ujarnya.
Dalam pada itu, Osman berkata, minat mendalam terhadap al-Quran mendorongnya melanjutkan pengajian dalam bidang tahfiz sebelum menyambung pengajian di Darul Quran.
Pada masa sama, beliau mengakui proses menghafaz al-Quran bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan disiplin serta kesungguhan yang tinggi.
“Proses menghafaz al-Quran itu memang agak susah jugalah. Sehari saya ambil masa paling banyak pun lima muka surat. Kalau ikutkan saya menghafaz al-Quran dalam tempoh dua tahun lebih dari 2022 hingga 2024,” katanya.
Selain mendalami al-Quran, Osman turut aktif dalam aktiviti dakwah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk menyantuni masyarakat Orang Asli di pedalaman.
Tambahnya, kesemua ahli keluarga termasuk ibu bapanya telah memeluk Islam, namun dua daripada abang kandungnya masih belum terbuka hati untuk berbuat demikian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 peringkat negeri


