IPOH – Kecederaan pada lutut kanan yang dialami Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong tidak mematahkan semangatnya untuk menamatkan hari pertama Larian Solidariti Selamatkan Dara, Amoi dan Kelat (DAK) sejauh 50 kilometer (km) dari Taiping ke Ipoh, hari ini.
Beliau berkata, jarak asal yang dirancang adalah sejauh 60km, namun terpaksa dipendekkan selepas mengalami kecederaan ketika melalui kawasan Padang Rengas menuju ke Sungai Siput.
“Saya terpaksa memendekkan larian itu kerana tadi di Padang Rengas, saya terpaksa berehat sekejap disebabkan mengalami kecederaan.
“Semasa mengalami kecederaan itu sewaktu hendak mengelak kereta, jalan di situ tidak rata, jadi lutut saya terkehel sedikit.
“Tetapi itu tidak mematahkan semangat saya. Saya berehat, kemudian pada jam 5 petang tadi, saya mulakan larian semula dari Chemor sampailah ke sini. Jadi, jumlah larian hari ini adalah 50 kilometer,” katanya ketika ditemui di Padang Ipoh di sini pada Rabu.
Menurutnya, larian itu bermula pada jam 5 pagi dan tiba di Padang Ipoh sekitar jam 6.45 petang namun di sepanjang laluan beliau bersama sukarelawan serta kakitangan yang mengikutinya berhenti di beberapa lokasi sebelum meneruskan larian.
“Perjalanan hari pertama ini agak mencabar kerana seperti yang kita sedia maklum, laluan dari Taiping ke Ipoh ini memang berliku dan berbukit-bukau. Namun, saya akan teruskan semangat ini.

“Malam ini saya akan pergi mendapatkan rawatan, jika terpaksa mengambil painkiller (ubat tahan sakit) sekalipun, saya akan ambil kerana saya mahu menamatkan larian ini sebelum hari pertama persidangan Parlimen pada hari Isnin nanti. Saya mesti habiskan larian saya sampai ke Parlimen,“ jelasnya.
Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri berkata, perjalanan esok akan diteruskan dari Ipoh ke Kampar dan beliau akan bertemu pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang aktif dalam persatuan pencinta haiwan.
Dalam pada itu, Choo Seong turut bersyukur kerana cuaca sepanjang hari pertama larian memihak kepadanya walaupun sempat berdepan hujan renyai dan beliau sempat berinteraksi dengan orang ramai ketika berhenti di beberapa lokasi.
“Hari pertama ini saya diberkati dengan cuaca yang baik. Pagi tadi cuaca sangat sejuk dan berangin. Sebelum sampai dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar pula, hujan renyai-renyai dan saya anggap itu sebagai hujan rahmat yang memudahkan larian saya.
“Sepanjang berhenti di Padang Rengas dan Kuala Kangsar, saya ada berinteraksi dengan orang ramai. Ada yang sudah tahu, ada yang belum tahu, dan ada yang sangat prihatin.
“Saya rasa bangga kerana larian ini bukan tentang diri saya. Larian ini adalah tentang DAK. Apabila larian ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan melindungi mereka, dan yang paling penting, tindakan kerajaan. Itulah persoalan yang ramai masih belum mendapat jawapan.

“Kita mahu perkara ini dibahaskan di Parlimen. Itulah sebabnya saya buat larian ini supaya petisyen yang saya kemukakan nanti dapat membantu ahli-ahli Parlimen yang prihatin untuk mengusulkan dan membahaskan isu DAK pada hari Isnin, jam 9 pagi,” kata.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan, pelari serta semua pihak yang menyertainya sepanjang larian itu
Sebelum ini media melaporkan, Choo Seong akan mengadakan larian solo sejauh 290 kilometer dari Taiping ke Parlimen, Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti terhadap nasib tiga gajah Malaysia di Jepun.
Larian selama enam hari dikenali sebagai Larian Solidariti Bersama DAK itu bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap kebajikan tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MPT sangkal dakwaan pengabaian, kebajikan DAK terjamin di Tennoji Zoo


