Kontinjen Perak terima tajaan lebih RM135,000 perkukuh persiapan SUKMA 2026

IPOH – Kontinjen Perak yang bakal beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerima tajaan peralatan latihan dan pakaian sukan bernilai lebih RM135,000 sebagai persiapan akhir bagi menghadapi kejohanan dwi tahunan itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, tajaan itu disumbangkan oleh dua syarikat, iaitu Sanctband Sdn Bhd dan Numa Marketing Sdn Bhd.

“Pada hari ini kita menerima tajaan dan sumbangan berbentuk peralatan serta kemudahan latihan. daripada Sanctband Sdn Bhd yang telah menyumbang sebanyak RM120,400.

“Selain itu, kita turut menerima tajaan pakaian sukan khusus untuk atlet wanita dari segi tudung dan sebagainya bernilai RM15,460,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Atlet Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024-2025 serta Majlis Penyerahan Penajaan dan Kolaborasi Strategik Sukan Negeri Perak di Seladang Sports Hub, Majlis Sukan Negeri Perak (MSNPk) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah MSNPk, Mazlan Mohamad; Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Sanctband Sdn Bhd, Lee Huey Ying dan Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah mewakili Numa Marketing Sdn Bhd.

Kontinjen Perak terima tajaan lebih RM135,000 perkukuh persiapan SUKMA 2026
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah (dua dari kiri) bersama Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah mewakili Numa Marketing Sdn Bhd menunjukkan pakaian sukan khusus untuk atlet wanita pada Majlis Penyerahan Penajaan dan Kolaborasi Strategik Sukan Negeri Perak di Seladang Sports Hub, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Ipoh hari ini. Foto MSN Perak

Khairudin berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan kedua-dua penaja yang disifatkan sebagai pemangkin kepada persiapan akhir pasukan menjelang temasya berkenaan.

“Saya mewakili kerajaan negeri dan MSNPk mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua-dua syarikat berkenaan kerana menaja peralatan serta pakaian khusus untuk atlet kita.

“Ini adalah salah satu motivasi dan juga insentif yang besar kepada persiapan akhir pasukan SUKMA Perak dalam menghadapi temasya SUKMA Selangor yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.

“Sumbangan ini secara tidak langsung akan memberikan satu semangat dan perangsang kepada atlet-atlet Perak ini untuk beraksi dengan hebat,” ujarnya.

Pada masa sama, Khairudin turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan pertubuhan untuk tampil memberikan sokongan kepada pembangunan sukan negeri. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

SUKMA Selangor: Perak bidik 50 emas, mahu lonjak kedudukan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI