Pelajar maut dilanggar, tiba-tiba suka makan tengah malam

IPOH – “Dua, tiga hari sebelum dia (arwah) meninggal dia suka makan tengah malam. Dia habiskan susu dalam peti ais, suka makan maggi. Jadi, saya tegur dia, kenapa makan tengah malam, tak elok,” kata Mimi Julia Ismail, 50.

Itulah luahan ibu kepada pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut dalam kemalangan di Taman Jati di sini, semalam.

Katanya, tingkah laku anaknya yang suka makan malam secara tiba-tiba itu berlaku beberapa hari sebelum dia meninggal dunia.

Menurutnya, anak bongsunya itu juga sudah sebulan tidak menjejakkan kaki ke kedai makan milik mereka sekeluarga.

“Bulan ini memang (Zaharif) tak masuk kedai cuma pergi ambil duit belanja sekolah daripada ayah sahaja. Kalau tidak, sebelum pergi sekolah mesti dia sarapan pagi, balik sekolah mesti dia makan (di kedai) baru balik rumah,” katanya.

Ibu kepada empat orang anak itu ditemui MG Perak dirumahnya di Taman Chepor Sentosa di sini, pada Sabtu.

Arwah 'tiba-tiba' suka makan tengah malam
Bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin (Kanan) kelihatan sebak ketika menceritakan kembali kejadian yang menimpa anak lelakinya, Muhammad Zaharif Affendi, yang maut dalam kemalangan di Taman Jati, pada semalam. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2023.

Dalam pada itu, Mimi Julia turut memberitahu anaknya juga terlalu baik dengan orang dan tidak akan menolak permintaan kawan-kawan di ajika mereka memerlukan bantuan.

“Arwah mempunyai minat dalam bidang permotoran. Tiap-tiap malam kawan dia datang untuk tukar minyak, tukar tayar motosikal. Alhamdullilah ALLAH SWT bagi kemahiran dekat dia.

“Lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) arwah ada menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang membaiki motosikal,” katanya.

Mengimbau kejadian semalam, dia berkata, tiada siapa beritahu kepadanya mengenai insiden itu dan hanya mendengar cakap-cakap dari pelanggan di kedai makan sahaja.

“Saya tahu sendiri (mengenai kemalangan itu) apabila mendengar pelanggan di kedai ami bercakap mengenai kemalangan menimpa anak saya,” ujarnya.

Arwah 'tiba-tiba' suka makan tengah malam
Kakak mangsa, Nur Zawanie Muhd Zamrie (kiri) ditemani abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie menceritakan kembali kejadian yang menimpa adik lelakinya, Muhammad Zaharif Affendi, yang maut dalam kemalangan di Taman Jati, pada semalam. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2023.

Dalam pada itu, kakak mangsa, Nur Zawani Muhd Zamrie, 28, berkata, sewaktu kejadian dia menghantar anak-anaknya kepada ibunya yang sedang mengendalikan kedai makan keluarga mereka dan melihat orang ramai mengerumuni lokasi kejadian.

Dia yang pada ketika itu ingin ke tempat kerja berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian kemalangan yang menimpa adiknya oleh salah seorang yang berada di kawasan berkenaan.

“Ketika sampai di situ saya lihat Zaharif dalam keadaan separa sedar dan masih boleh bercakap sedikit sambil menyatakan yang dia kesakitan.

“Saya adalah orang pertama yang menghubungi ambulans dan ketika itu kedengaran banyak suara mendakwa Zaharif sengaja dilanggar namun pada masa itu tumpuan utama saya adalah hanya untuk menyelamatkan nyawa adik,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, berkata, keluarganya masih dalam perbincangan sama ada untuk melantik peguam bagi menguruskan kes berkenaan.

“Memang kami bercadang hendak melantik peguam tetapi kami masih dalam perbincangan lagi tanpa sebarang keputusan muktamad setakat ini,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Poster ‘Justice for Muhammad Zaharif Affendi’ ditampal bersebelahan mahkamah Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI