Kemalangan pelajar: Perak ucap takziah, harap keadilan sewajarnya

IPOH – Kerajaan Negeri Perak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham pelajar Tingkatan 5, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Taman Jati, Meru di sini, pada Sabtu.

Menerusi hantaran pada laman Facebook, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad turut menitipkan ucapan kepada ahli keluarga agar tabah menghadapi saat getir itu.

“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham adik Zaharif Affendi Zamrie, 17, yang telah meninggal dunia akibat kemalangan di Taman Jati, Meru,” katanya pada Sabtu.

Pada masa sama, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berharap agar keadilan sewajarnya dapat diberikan kepada Allahyarham dan keluarga, walau siapa pun terlibat.

“Runtun dan sayu hati saya. Tiada ibu atau bapa yang mahu melihat anak mereka pergi dulu dari diri kita. Apatah lagi berlaku di depan mata.

“Solidariti untuk keluarga arwah adik Zaharif,” katanya lagi dalam hantaran pada laman Facebook beliau.

Media pada Jumaat melaporkan, Muhammad Zaharif Affendi maut di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati.

Kereta Perodua Ativa dipandu oleh pegawai kanan polis berusia 44 tahun sementara mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha.

Kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Zaharif Affendi meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian dada dan abdomen ekoran kemalangan itu. -MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Pelajar maut dilanggar, tiba-tiba suka makan tengah malam

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI