GOPENG – Seramai 20 penduduk masyarakat Orang Asli termasuk seorang wanita mengandung dan tiga bayi terperangkap selepas jambatan yang menghubungkan Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila di sini runtuh akibat kejadian kepala air susulan hujan lebat berterusan pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.29 petang.
Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati jambatan yang menghubungkan penduduk kampung telah runtuh selepas dihanyutkan arus deras sungai.
“Seramai 20 mangsa didapati terperangkap di rumah masing-masing namun berada dalam keadaan selamat.
“Mereka terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki, dua warga emas, lima lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa termasuk seorang wanita mengandung serta tiga bayi.
“Mangsa turut memaklumkan bekalan makanan mereka masih mencukupi walaupun terputus hubungan akibat kerosakan jambatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sabarodzi berkata, selain penduduk kampung, terdapat seramai 30 lagi orang penduduk yang keluar bekerja tidak dapat pulang ke rumah masing-masing berikutan laluan utama itu terputus.
Kata beliau, hasil perbincangan bersama pelbagai agensi dan pihak berkuasa, kesemua penduduk yang terkandas telah ditawarkan penginapan sementara di sebuah resort berhampiran.
“Penduduk yang tidak dapat pulang ke rumah telah ditawarkan untuk menetap sementara di Gopeng Highlands Resort sementara menunggu situasi kembali selamat. Pemantauan berkala akan diteruskan bagi menilai perkembangan semasa,” katanya lagi.
Sabarodzi berkata, ketika operasi dijalankan, cuaca di kawasan berkenaan masih dalam keadaan hujan manakala paras sungai kekal tinggi serta berarus deras.
Beliau berkata, operasi turut berdepan gangguan talian telefon dan sistem Government Integrated Radio Network (GIRN) yang menjejaskan komunikasi di lokasi kejadian.
Tambah beliau, pihak bomba meminta bantuan dua penduduk kampung Shasha Bah Justin dan Bahizuaan Bah Justin masing-masing bertindak sebagai penghubung untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada agensi penyelamat sekiranya diperlukan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Muhammad Izzat Ismail itu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.50 malam sebelum operasi ditamatkan lima minit kemudian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banjir Sungai Siput: 30 keluarga orang asli terputus hubungan


