IPOH – Seorang pelajar lelaki Tingkatan 1 mengalami kecederaan parah selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 2.49 petang sebelum pihak polis dan pasukan perubatan digerakkan ke lokasi.
Katanya, mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan lanjut selain pelajar itu dilaporkan sedang berada dalam keadaan kritikal.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Setakat ini, pihak polis masih mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan meneliti semua aspek yang berkaitan.
“Pihak polis juga akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh serta sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Isnin.
Justeru beliau meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
“Pihak polis memohon agar privasi mangsa, keluarga dan pihak sekolah dihormati sepanjang tempoh siasatan dan rawatan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan kebajikan mangsa dan keluarga terus terpelihara,” ujarnya.
Sementara itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah menerusi hantaran pada laman Facebook telah meminta agar Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk menyediakan laporan penuh berhubung kejadian itu.
“Dan saya telah mengarahkan agar semua pihak sekolah (agar) sentiasa peka tentang keadaan sekitar supaya kejadian ini tidak lagi berulang,” katanya.
Menurut Khairudin, terdahulu beliau telah ke Unit Kecemasan HRPB bagi mendapatkan maklumat awal tentang kejadian seorang pelajar yang terjatuh dari bangunan.
Kata beliau, ia turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
“Saya sempat berbual dengan kedua-dua ibu bapa mangsa dan menyatakan segala rasa simpati kepada keluarga yang terlibat,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


