IPOH – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual membabitkan seorang pelajar perempuan, minggu lalu.
Tertuduh, Gopinad Gulam Mohamad, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berusia 14 tahun 10 bulan terbabit di perhentian bas yang terletak di Jalan Ipoh-Kampar, Kampung Batu Berangkai dalam daerah Kampar pada jam 2.05 petang, 18 Jun 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki OKU fizikal itu didakwa telah berkomunikasi secara seksual dengan mangsa pada jam 2.10 petang di lokasi dan tarikh yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 11(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, S Pavitra memohon supaya beberapa syarat tambahan dikenakan, termasuk menetapkan jumlah jaminan yang tinggi terhadap tertuduh
Tertuduh yang diwakili Khesmin Kapil Singh Dhanoa memohon supaya mahkamah menetapkan jaminan pada kadar minimum memandangkan tertuduh merupakan orang kurang upaya (OKU) dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Beliau memaklumkan bahawa isteri tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan membantu menanggung perbelanjaan keluarga.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu, mendekati atau menghubungi mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada awal bulan, sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 28 Julai ini sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jurulatih kadet bomba didakwa 7 pertuduhan amang seksual pelajar perempuan 14 tahun


