GOPENG – Dua individu parah sementara enam lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah lori kontena di kilometer (km) 291 arah utara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, pada Selasa,
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas jalan raya itu pada jam 4.29 petang.
Katanya, sejurus selepas itu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Kejadian itu melibatkan sebuah lori kontena, dua buah van masing-masing jenis Toyota Lite Ace dan Toyota Hiace, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V serta tiga kereta masing-masing jenis Perodua Bezza, Perodua Axia dan Toyota Vios.
“Dua mangsa parah dengan seorang cedera ringan berada dalam Toyota Lite Ace, serta lima yang lain juga cedera ringan berada dalam lori kontena dan Toyota Hiace.
“Kemalangan jalan raya itu tidak melibatkan mangsa yang tersepit. Dan setibanya jentera bomba di lokasi kejadian didapati semua mangsa iaitu lapan orang telah keluar dari kenderaan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Beliau berkata, pasukan bomba membuat pemantauan risiko kemalangan di lokasi serta membantu menstabilkan kesemua mangsa yang terlibat sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Anggota bomba mengunakan satu aliran salur bantu mula untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak pada permukaan jalan sehingga selesai,” katanya lagi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Isma Mohamad Ubaidullah Ahmad Rani itu tamat pada jam 6.02 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


