Isu parkir HRPB: Kenderaan disaman akibat halang lalu lintas

IPOH – Gangguan laluan trafik hingga menjejaskan pengguna jalan raya lain menjadi antara faktor kenderaan yang diparkir di Jalan Raja Ashman Shah berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, dikenakan saman.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, sebelum ini, kerajaan negeri dengan Jabatan Kesihatan Negeri telah berbincang dengan pihak polis mengenai masalah berkenaan.

Menurutnya, menerusi perbincangan itu, mereka telah mencapai persefahaman supaya saman tidak dikenakan kepada mereka yang meletakkan kenderaan diparkir tepi jalan serta tidak melanggar syarat yang ditetapkan.

“Kita dah cakap tak boleh double parking (parkir berganda) dan tidak boleh parkir dekat roundabout (bulatan).

“Keadaan ini menyebabkan ambulans yang ingin keluar sukar melihat keadaan di sebelah kanan, khususnya jika terdapat lori atau kenderaan besar yang sedang melalui kawasan tersebut dan situasi ini amat berbahaya.

“Selain itu, kenderaan juga tidak dibenarkan diletakkan di kawasan roundabout, namun masih ada yang berbuat demikian, begitu juga di kawasan berhampiran Anderson Club yang telah ditetapkan sebagai kawasan larangan meletak kenderaan, tetapi arahan tersebut masih tidak dipatuhi.

“Sehubungan itu, pihak polis telah mengambil tindakan penguatkuasaan. Saya tidak menyalahkan pihak polis kerana mereka hanya menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular seorang lelaki yang mendakwa kerajaan negeri gagal menangani masalah parkir sehingga menyebabkan pengguna dikenakan saman.

Katanya, hospital berkenaan mempunyai 5,135 kakitangan tetap dan kontrak manakala jumlah parkir sedia ada hanya 1,323 lot melibatkan 645 lot untuk kakitangan dan 678 lot untuk orang awam.

Mengulas langkah penyelesaian, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pelantikan sebuah syarikat untuk menguruskan parkir di HRPB.

Katanya, syarikat tersebut akan merancang penambahbaikan beberapa ruang parkir bagi memastikan susun atur kenderaan lebih teratur, sekali gus meningkatkan kapasiti parkir dan melancarkan aliran trafik.

“KKM telah meluluskan sebuah syarikat bagi mengurus parkir di HRPB dan mereka merancang menambah baik beberapa ruang parkir bagi memastikan kenderaan disusun rapi untuk menambah bilangan kenderaan yang boleh dimuat.

“Selain itu, usahanya menjaminkan kelancaran trafik di samping mengurangkan isu pelanggaran kenderaan.

“Syarikat tersebut juga merancang bagi menambah bilangan lot parkir sedia ada melalui kaedah ‘mechanical parking’. Kalau reorganize, restructure (menyusun, menstruktur semula) boleh tambah lagi lebih kurang 300 parkir,” katanya.

Sivanesan berkata, orang ramai masih boleh menggunakan kawasan parkir di luar hospital selagi mematuhi arahan pihak polis, selain memanfaatkan kemudahan parkir di stadium yang disediakan bersama perkhidmatan shuttle. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Parkir hingga halang lalu lintas di HRPB tetap kena saman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI