GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan kartel atau sindiket yang didakwa mengeksploitasi pelarian Rohingya di negara ini, termasuk penyelewengan bantuan kewangan yang sepatutnya diterima golongan berkenaan.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, isu pelarian Rohingya bukan lagi sekadar membabitkan aspek kemanusiaan, sebaliknya didakwa telah berkembang menjadi masalah keselamatan dan tadbir urus yang memerlukan siasatan menyeluruh.
Beliau mendakwa terdapat pelarian Rohingya di Malaysia yang tidak menerima bantuan kewangan walaupun kad pelarian dikeluarkan oleh UNHCR, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pihak yang sebenarnya menikmati bantuan itu.
“Dikatakan secara kasar terdapat kira-kira 130,000 pelarian Rohingya di Malaysia, namun jumlah sebenar dipercayai lebih besar.
“Ada kajian mendapati golongan pelarian ini tidak menerima bantuan tersebut. Jadi ke mana perginya bantuan kewangan itu? Hal ini menunjukkan seolah-olah wujud satu kartel atau sindiket yang menguasai dan mengambil bantuan kewangan itu,” katanya hari ini.
Mohd Yussof berkata, kerajaan juga didakwa tidak serius menangani isu pelarian Rohingya walaupun jumlah mereka semakin meningkat dan penempatan mereka semakin meluas di negara ini.
Beliau berkata, keadaan itu didakwa menyebabkan pelbagai masalah termasuk penempatan haram, isu berkaitan pendatang tanpa izin serta peningkatan kegiatan jenayah dan eksploitasi dalam kalangan etnik berkenaan.
“Sikap pemerintah yang mungkin tidak serius dengan masalah pelarian Rohingya nyata juga mungkin mempunyai agenda yang mencurigakan.
“Mungkin juga ada pihak mendapat faedah besar melalui kartel atau sindiket yang menguasai dan mencaturkan pelarian Rohingya sehingga merosakkan negara,” katanya.
Beliau turut merujuk pendedahan peguam Nur Hafizah Hassan berhubung isu pelarian Rohingya yang disifatkannya membimbangkan dan memerlukan tindakan segera.
“Sehubungan itu, kita gesa supaya kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berkenaan secara menyeluruh demi kepentingan negara,” katanya. – MalaysiaGazette


