SUNGAI SIPUT – Pendidikan adalah kunci utama membuka pintu kemajuan, membentuk akhlak, memperkukuhkan jati diri dan mengangkat martabat sesebuah masyarakat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tokoh ilmuwan Islam, Imam al-Ghazali menerusi karya ‘Ihya’ Ulum al-Din’ menghuraikan ilmu pengetahuan mempunyai kekuatan untuk mengangkat darjat seorang hamba ke martabat yang tinggi, bahkan ke taraf para raja.
Titah baginda, kemuliaan yang lahir daripada ilmu bukan sekadar kemuliaan duniawi, tetapi juga yang membawa manusia lebih dekat kepada Allah SWT dan bermanfaat kepada masyarakat.
“Pendidikan ialah proses memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab yang berasaskan empat dimensi utama, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“Mendidik bukan sekadar memindahkan ilmu pengetahuan dan maklumat semata-mata. (Sebaliknya) mendidik adalah mengajar, melatih dan mengasuh dalam membentuk peribadi dan sahsiah dengan ilmu pengetahuan serta nilai-nilai agama untuk memberi manfaat kepada diri dan orang lain,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah di Kampung Kenang, di sini, pada Selasa.
Berangkat sama ke majlis, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir mengiringi keberangkatan baginda berdua Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Dalam pada itu baginda bertitah, Islam meletakkan Ilmu pada kedudukan yang sangat tinggi sebagaimana kalimah ‘iqra’ pada wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Titah Sultan Nazrin, kalimah itu ialah seruan untuk manusia mengkaji, menyelidik dan memahami segala ciptaan Ilahi untuk dijadikan pedoman serta pembangunan insan yang bertunjangkan kepada ilmu pengetahuan.
“Melalui ilmu, seseorang dapat mengenal Tuhannya, memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah, serta berupaya memberikan sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negaranya,” titah baginda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keputusan melulu pemimpin undang padah kepada rakyat – Sultan Nazrin


