IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta, di sini, pada Selasa.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 10 pagi diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail serta, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Pada majljs, Sultan Nazrin berkenan melafazkan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian, sebelum melawat pameran, bangunan kem, dan disusuli majlis santapan.
Terdahulu baginda berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 pegawai rendah polis, sebelum berkenan menyaksikan persembahan khas oleh anggota 69 Komando.
Pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando merupakan projek pembangunan strategik yang dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan operasi serta latihan pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kem itu dibangunkan selaras dengan keperluan semasa dalam menghadapi spektrum ancaman asimetrik serta cabaran keselamatan kontemporari negara.
Sejak penubuhannya pada tahun 1969, 69 Komando ditempatkan di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan sepanjang tempoh tersebut, pasukan berkenaan beroperasi dengan berkongsi prasarana sedia ada tanpa memiliki kem khusus sendiri.
Susulan itu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM206 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 bagi pembinaan sebuah kem khusus bagi pasukan 69 Komando.
Kerja-kerja pembinaan kem dimulakan secara rasmi pada 30 April 2018 di atas berkeluasan 338.3 hektar yang terletak bersebelahan dengan Markas Briged Utara PGA.
Pembinaan kem berkenaan berjaya disiapkan pada 3 Februari 2023 sebelum diserahkan secara rasmi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada PDRM yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis pada 4 Mei 2024.
Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando menggabungkan fungsi sebagai pusat pentadbiran dan latihan yang dilengkapi dengan prasarana latihan moden bertaraf dunia.
Antara fasiliti latihan yang terdapat pada kem berkenaan adalah, kompleks latihan para, kemudahan latihan payung terjun, kolam renang taktikal, lapang sasar tertutup, lapang sasar jarak pendek dan sederhana.
Selain itu, kem berkenaan turut dilengkapi lapang sasar terpanjang di Malaysia dengan jarak sejauh 1.2 kilometer yang mana ia digunakan untuk latihan taktikal, antikeganasan dan penembak tepat jarak jauh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan rasmi Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah


