IPOH – Seramai 18 lelaki warga China ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada Isnin lalu selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pertama dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sebuah apartmen di Laluan Ipoh Permai 3, Apartment Ipoh Hill Permai yang membawa kepada penahanan 10 suspek warganegara berkenaan.
“Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah rumah di Laluan Tasek Timur 5, Taman Tasek Indra dan polis berjaya menahan lapan lagi lelaki warga sama.
“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis berkenaan menemukan pelbagai peralatan elektronik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Menurut beliau, susulan itu pihak polis merampas kesemua barangan di kedua-dua lokasi serbuan untuk tujuan siasatan lanjut dan ia dianggarkan berjumlah RM78,000.
Mohd Alwi berkata, hasil analisis awal terhadap peranti yang dirampas mendapati ia disyaki digunakan untuk mengendalikan aktiviti penipuan membabitkan penggunaan instrumen kewangan serta akaun bank milik pihak lain.
“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tangkapan yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 45 tahun bersama barang kes telah dibawa ke IPD Ipoh untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, polis memandang serius kegiatan penipuan dalam talian yang melibatkan penggunaan teknologi serta penyalahgunaan akaun kewangan pihak lain bagi memperdaya mangsa.
Justeru kata beliau, pihak polis akan terus menjalankan tindakan penguatkuasaan selain mempergiatkan usaha membanteras kegiatan jenayah komersial.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang urusan dalam talian yang mencurigakan, tidak mudah mempercayai tawaran yang menjanjikan keuntungan luar biasa serta tidak menyerahkan maklumat perbankan atau membuat transaksi kepada pihak yang tidak dapat disahkan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis tahan tiga individu, tumpas sindiket bekal telefon bimbit, kad sim pada ‘scammer’


