BAGAN DATUK – Seramai 297 pemilik tanah di Kampung Bahagia menerima Surat Tawaran Notis 5A, sekali gus membuka laluan kepada pengeluaran geran hak milik individu dan menamatkan isu geran kongsi yang membelenggu kawasan itu sejak lebih 50 tahun lalu.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, penyelesaian itu dicapai hasil kerjasama bersepadu antara PTG, Pejabat Daerah dan Tanah serta jawatankuasa khas yang dianggotai wakil pemilik tanah.
Menurut beliau, isu yang berlarutan lebih 50 tahun itu mengambil masa panjang untuk diselesaikan ekoran geran kongsi melibatkan 297 penama yang berdepan pelbagai kekangan.
“Antaranya terdapat penama yang tidak dapat dikesan, ada yang telah meninggal dunia tanpa urusan pembahagian pusaka dibuat selain berlaku pertindihan pemilikan dalam kalangan penama.

“Hak milik asal sebenarnya memang wujud namun kita tidak mengetahui siapa pemegang hak milik sebenar atau di mana dokumen itu berada. Keadaan ini menyebabkan segala urusan transaksi dan berkaitan tanah tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sidang media sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 5 Tahun 2026 di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini pada Isnin.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau menjelaskan, kelewatan lebih lima dekad bukan berpunca daripada kegagalan pihak berkuasa mengusahakan penyelesaian sebaliknya disebabkan pelbagai kekangan melibatkan status pemilik tanah.

“Perubahan yang dilakukan dari semasa ke semasa termasuk pelaksanaan sistem e-Tanah akhirnya membuka ruang untuk menamatkan pemilikan secara geran kongsi kepada hak milik individu,” katanya.
Sementara itu, Saarani dalam sidang media sama berkata, pihaknya telah hadir menyerahkan Surat Tawaran Notis 5A kepada 297 pemilik tanah Kampung Bahagia pada Program Santuni Rakyat, Memperkasa Urusan Tanah di Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Teluk Intan, pada pagi Isnin.
Beliau berkata, ia sekali gus menamatkan isu geran kongsi yang berlarutan lebih 50 tahun dan membuka laluan kepada pengeluaran hak milik individu. -MG Perak


