TELUK INTAN – Seorang lelaki Orang Asli maut manakala seorang wanita cedera selepas motosikal yang mereka naiki terbabas ke dalam parit berhadapan sebuah kafe di Kampung Chui Chak, Langkap, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.36 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati seorang lelaki Orang Asli berusia 31 tahun berada dalam keadaan tertiarap di dalam parit.
“Manakala seorang wanita berketurunan Orang Asli berusia 25 tahun berada di atas tebing parit dan mengalami kecederaan patah pergelangan kedua-dua belah tangan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi melakukan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER seterusnya mengarahkan anggota mengangkat mangsa dari dalam parit dengan menggunakan pengusung.
“Mangsa kemudiannya diperiksa oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Katanya, mangsa wanita yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan dan operasi tamat sepenuhnya jam 1.06 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah ditemukan maut


