Telaga tiub, pam bergerak antara cadangan atasi krisis pengairan sawah di Perak Tengah

PARIT – Kerajaan Negeri Perak sedang menilai cadangan pembinaan telaga tiub serta penyediaan unit pam bergerak sebagai langkah proaktif bagi menangani krisis pengairan sawah di luar kawasan jelapang padi daerah Perak Tengah.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, inisiatif tersebut dirangka hasil lawatan dan perbincangan strategik bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta wakil rakyat setempat.

Menurutnya, antara langkah segera yang perlu diambil adalah penyelarasan pelepasan air oleh pihak Tenaga Nasional Berhad Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bagi meredakan gangguan bekalan yang turut memberi kesan kepada Lembaga Air Perak (LAP).

“TNB Genco perlu bertolak ansur dan melakukan pengolahan pelepasan air supaya masalah JPS dapat diatasi, sekali gus memastikan pesawah serta pengguna air domestik tidak terus menanggung derita.

Telaga tiub, pam bergerak antara cadangan atasi krisis pengairan sawah di Perak Tengah
Keadaan ruang operasi di Rumah Pam Teluk Bakong, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2026.

“Sekiranya bekalan air tidak mencukupi, ia akan menjadi masalah besar. Walaupun kita tidak berjanji untuk menyelesaikan masalah ini secara 100 peratus, namun usaha ini sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban yang dihadapi,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Rumah Pam Teluk Bakong, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Mengulas mengenai cadangan jangka panjang, Mohammad Nizar menjelaskan pembinaan telaga tiub atau telaga artesis buatan sedang dinilai secara teknikal oleh agensi berkaitan.

“Jika dilihat kepada rangka anggaran kos bagi membina 10 buah telaga tiub ini, ia akan memakan belanja sekurang-kurangnya RM3 juta dan mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk proses kajian, penggerudian, dan pembinaan, jadi kaedah ini sedang diperincikan,” ujarnya.

Selain itu, Mohammad Nizar turut mencadangkan supaya JPS mewujudkan unit pam bergerak pada tahun hadapan sebagai persediaan mendepani fenomena El Nino.

Telaga tiub, pam bergerak antara cadangan atasi krisis pengairan sawah di Perak Tengah
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak berkenaan Isu Bekalan Air untuk Skim Pengairan Teluk Bakong di Rumah Pam Teluk Bakong, Parit, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2026.

“Maknanya, jika terdapat masalah pada pam sedia ada atau pam perlu dihantar untuk penyelenggaraan, kita mempunyai pam simpanan bergerak yang boleh digunakan tanpa menjejaskan musim penanaman yang hanya berlangsung selama tiga hingga empat bulan sahaja,” jelasnya.

Katanya, bagi memastikan keberkesanan pengurusan air, JPS dan TNB akan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap aliran pelepasan air bermula dari Empangan Temenggor, Bersia, Kenering sehingga ke Chenderoh.

Tambahnya, jika situasi bertambah kritikal akibat El Nino, kerajaan negeri akan memohon operasi pembenihan awan daripada kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berdasarkan syor MetMalaysia namun itu adalah pilihan terakhir memandangkan kos setiap operasi mencecah hampir RM100,000.

Sebelum ini media melaporkan, cuaca panas melampau yang berlarutan menjejaskan tanaman padi di beberapa kawasan di daerah Perak Tengah apabila pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Keadaan itu lebih membimbangkan apabila ada pesawah terpaksa menangguhkan penanaman atau tidak mengusahakan sawah mereka. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kemarau: Pesawah terjejas perlu segera lengkap dokumentasi tuntutan bantuan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI