IPOH – Kemahiran tiga pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) dalam pemodelan maklumat bangunan (BIM) terbukti apabila mereka menyapu bersih tiga tempat teratas pada pertandingan akhir BIM Challenge 2026 yang berlangsung di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu baru-baru ini.
Kejayaan itu mencipta sejarah buat PUO serta ketiga-tiga peserta, iaitu Adam Buqhary Yusof yang dinobatkan sebagai juara, diikuti Ameirul Hadi Shamsul Bahri di tempat kedua dan Alya Adleena Remlan di tempat ketiga bagi Kategori Architectural BIM (pelajar seni bina).
PUO turut membawa pulang Anugerah Saguhati bagi Kategori Architectural BIM serta Architectural BIM for Quantification sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang cemerlang dalam bidang teknologi pembinaan.
Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, pencapaian luar biasa itu merupakan bukti kukuh kualiti pendidikan TVET berasaskan teknologi masa hadapan yang diterapkan di institusi berkenaan.
“Kejayaan anak-anak didik PUO menguasai podium BIM Challenge 2026 ini bukan sekadar kemenangan pertandingan, tetapi penanda aras bahawa graduan TVET kita bersedia mendepani transformasi pendigitalan industri pembinaan negara.
“Komitmen pelajar serta bimbingan berterusan pensyarah terbukti membuahkan hasil. Ini refleksi dedikasi warga PUO dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berdaya saing dan relevan dengan kehendak industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama PSMZA dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) itu menghimpunkan 197 peserta insitusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara sebelum 89 daripadanya berentap di peringkat akhir.
Daripada jumlah tersebut, hanya 89 peserta berjaya melangkah ke peringkat akhir untuk bersaing dalam beberapa kategori yang menguji kemahiran penggunaan teknologi BIM.
Majlis penutupan pertandingan disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Dr Mohd Daud Isa.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama PUO, malah menjadi bukti bahawa pendidikan TVET terus melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri pembinaan digital yang semakin berkembang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


