KUALA KANGSAR – Sebanyak sembilan daripada 15 siri Program Jelajah Sejahtera Desaku berjaya dianjurkan setakat dalam usaha Kerajaan Perak mendekati komuniti luar bandar merentasi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zolkafly Harun berkata, program yang memasuki siri kesembilan itu itu berlangsung di DUN Manong pada Sabtu sebelum diteruskan di DUN Alor Pongsu esok.
Menurut beliau, siri jelajah berkenaan dijangka berakhir di DUN Kenering selepas melengkapkan keseluruhan 15 lokasi yang dirancang.
“Alhamdulillah hari ini kita berjaya melaksanakan program Jelajah Sejahtera Desaku di DUN Manong yang merupakan lokasi kesembilan.

“Insya-Allah esok kita akan berada di DUN Alor Pongsu dan keseluruhan program tahun ini melibatkan 15 DUN sebelum berakhir di DUN Kenering,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Manong, di Mini Arena Dataran Manong, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Manong, Azizul Rahim Abdul Rahman.
Mohamad Zolkafly berkata, sambutan rakyat di semua sembilan lokasi setakat ini amat memberangsangkan dan mencerminkan semangat kebersamaan antara masyarakat, pemimpin setempat serta agensi kerajaan.
Katanya, penglibatan pejabat daerah dan tanah, pemimpin komuniti serta pelbagai pihak dalam menjayakan program itu membolehkan mesej Perak Sejahtera 2030 disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

“Kalau dibandingkan dengan program-program sebelum ini, sambutan di Manong amat baik. Ini menunjukkan masyarakat dan pemimpinnya bersama-sama menjayakan program ini.
“Apabila pelbagai pihak terlibat, saya yakin mesej yang ingin disampaikan Kerajaan Perak dapat difahami dengan lebih jelas oleh komuniti setempat,” katanya.
Mengulas kemungkinan program itu diperluaskan pada masa depan, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan penambahan lokasi sekiranya menerima peruntukan yang lebih besar.
Katanya, tahun ini dan tahun lalu hanya 15 DUN dapat dilaksanakan berdasarkan peruntukan sedia ada, sedangkan Perak mempunyai 59 kawasan DUN.
“Kalau ada keperluan dan peruntukan tambahan pada tahun hadapan, kita akan mohon kepada kerajaan negeri supaya program ini dapat diperluaskan ke DUN-DUN lain sehingga meliputi seluruh negeri,” katanya. -MG Perak


